Minit kedua Najib kepada Jepak adalah arahan khusus: Madinah

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak -Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendakwa arahan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui satu minit yang ditulis kepada Jepak Holdings pada bulan Jun 2016 adalah satu arahan khusus.

Beliau berkata, minit itu adalah arahan kepada Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi mematuhi minit awal Najib yang ditulis pada bulan November 2015.

Dalam minit yang ditujukan kepada Mahdzir pada November 2015, Najib menyatakan "sila laksana" perjanjiannya dengan cadangan Jepak untuk melaksanakan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah di Sarawak melalui minit terdahulu.

Madinah berkata, walaupun beliau mempunyai kuasa untuk tidak mematuhi arahan Perdana Menteri ketika itu yang bertentangan dengan peraturan dan prosedur kerajaan namun ada keadaan tertentu Menteri Kewangan yang juga Najib ketika itu, boleh mengatasi keputusan berkenaan.

Menurutnya, jika dalam keadaan biasa, minit Perdana Menteri yang mengatakan "sila pertimbangkan" atau "sila laksanakan" sudah dianggap sebagai arahan yang besar.

Terdahulu Peguambela Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Akberdin Abdul Kader terus mengasak Madinah dalam sesi pemeriksaan balas.

Akberdin: Soalan saya, kenapa sejak awal kamu menyokong pengeluaran Surat Setuju Terima (SST).

Madinah: Ya, dalam pelaksanaan projek-projek rundingan terus, walau ada garis panduan, garis panduan ini merupakan garis panduan perlu dipatuhi. Namun wujud juga keadaan-keadaan tertentu di mana keputusan boleh diatasi oleh Menteri Kewangan di bawah keadaan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Madinah dalam keterangannya semalam, memberitahu mahkamah bahawa pemberian projek bernilai RM1.25 bilion untuk memasang sistem solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak tidak mengikut prosedur.

Madinah yang kemudian dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkata telah mengarahkan audit dijalankan terhadap projek berkenaan.

Madinah saksi pendakwaan keenam dijadualkan kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok bagi menyambung keterangannya dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Rosmah.

Hari ini merupakan hari kelapan perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.