Maybank belasah Nurinsafi

Pemain Maybank Adam Aiman Mamat (kiri) mengasak pemain UiTM Fallah Hassan Shahrom Jamil dalam perlawanan kalah mati Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada awal Januari. - Foto Bernama
Pemain Maybank Adam Aiman Mamat (kiri) mengasak pemain UiTM Fallah Hassan Shahrom Jamil dalam perlawanan kalah mati Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada awal Januari. - Foto Bernama
A
A
A

MAYBANK memulakan kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 dengan bergaya apabila membenam Nurinsafi/Hoki Kedah 5-1 pada aksi pembukaan divisyen Premier di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam semalam.

Amirrullah Zainol muncul wira Maybank apabila meledak dua jaringan pada minit ke-26 dan minit ke-31, disusuli jaringan bekas pemain kebangsaan, Hafifihafiz Hanafi (minit ke-56), Muhammad Hafiizhuddin Zaidi (minit ke-59) dan Muhamad Nazrey Din, selang seminit kemudian.

Nurinsafi/Hoki Kedah berjaya meraih gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Baljit Singh Sarjab pada minit ke-53.

Juara Piala Tan Sri P. Alagendra 2019, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mengutip tiga mata apabila menewaskan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 4-1 dalam satu lagi aksi yang berlangsung pada sesi petang.

Empat gol TNB dijaringkan oleh empat pemain kebangsaan iaitu Muhamad Ramadan Rosli pada minit keempat, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (minit keenam), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (minit ke-11) dan Firhan Ashaari (minit ke-41).

UiTM berjaya meraih gol tunggal menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan Mohamad Izuan Azhar pada minit ke-17.

Terdahulu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) meraih Piala Sumbangsih 2019 selepas empat percubaan dengan menundukkan juara keseluruhan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 pada aksi penentuan pukulan penalti di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Perlawanan terpaksa diheret ke aksi penentuan pukulan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 pada aksi penuh perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi wakil divisyen Premier, TNB Thunderbolts akan memulakan kempen mereka menentang THT di Kuala Terengganu, Ahad ini. -Bernama