X

Kindly register in order to view this article
!

JKNS minta henti spekulasi isu video doktor

Video seorang doktor bercakap kasar dengan pesakit tular di media sosial Facebook.
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi berhubung video tular di laman sosial Facebook seorang doktor lelaki bercakap kasar dengan pesakit yang didakwa berlaku di sebuah klinik kesihatan di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Faid Abd Rashid berkata, pihaknya memandang serius apa yang berlaku dan siasatan awal telah dijalankan.

"Pengadu juga telah dihubungi bagi mendapatkan maklumat terperinci. Terkini isu ini telah diselesaikan melalui rundingan antara kedua-dua belah pihak.

"Jadi kita harap orang ramai tidak buat spekulasi terhadap mana-mana pihak yang terlibat serta dapatkan maklumat daripada sumber rasmi JKNS atau Kementerian Kesihatan," katanya.

Menurutnya, sebarang aduan mengenai perkhidmatan yang disampaikan perlulah dikemukakan melalui saluran rasmi yang di sediakan.

Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan bahawa mengambil gambar serta rakaman video tanpa kebenaran di fasiliti kesihatan adalah dilarang.

Tegasnya, larangan itu penting untuk difahami dan dipatuhi demi menjaga kerahsiaan pesakit lain yang sedang terima rawatan mahu pun pemeriksaan di fasiliti kesihatan termasuk di bilik konsultasi Pegawai Perubatan.

"Pihak JKNS amat mengalu-alukan cadangan serta pandangan daripada orang awam dan akan terus berusaha melaksanakan penambahbaikan terhadap perkhidmatan kesihatan yang diberi," katanya.

Malam kelmarin, tular video seorang doktor lelaki bercakap kasar dengan pesakit di laman sosial Facebook.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus