Kanak-kanak dilarang kunjungi HRPZ II

Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dilarang daripada mengunjungi atau masuk ke semua kawasan wad yang menempatkan pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dilarang daripada mengunjungi atau masuk ke semua kawasan wad yang menempatkan pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dilarang daripada mengunjungi atau masuk ke semua kawasan wad yang menempatkan pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, polisi baharu tersebut dilaksanakan pihak pentadbiran hospital berkuat kuasa semalam sepertimana memo yang dikeluarkan.

Menurutnya, langkah digunapakai bertujuan melindungi golongan terbabit daripada dijangkiti penyakit berjangkit susulan penularan pelbagai virus dan wabak secara keseluruhannya termasuk koronavirus (Covid-19).

“Garis panduan ini dibuat apabila melihat keadaan kanak-kanak yang terlalu bebas dibawa oleh ibu bapa masuk ke dalam wad tanpa menghiraukan atau menyedari bahaya jangkitan penyakit.

“Mereka melawat pesakit yang mungkin tidaklah sakit terlalu teruk tetapi pesakit lain yang ada bersama di dalam wad tersebut berkemungkinan besar mempunyai penyakit berpotensi memberi jangkitan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau menyedari arahan terbaru itu mungkin mengundang kemarahan daripada waris pesakit, namun menegaskan larangan dibuat sebagai langkah pencegahan awal dan perlu dipatuhi.

“Kanak-kanak tidak akan dibenarkan masuk ke wad dan kalau hendak melawat juga, pesakit yang tidak terlalu teruk ini boleh keluar sekejap daripada kawasan wad untuk berjumpa mereka di luar.

“Bagi wad-wad lain seperti Unit Rawatan Rapi dan sebagainya itu sememangnya tidak dibenarkan langsung manakala untuk kes tertentu tertakluk kepada budi bicara pihak pentadbiran hospital,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, memo larangan tersebut turut terpakai kepada kakitangan HRPZ II iaitu tidak dibenarkan membawa anak masing-masing ke wad.

“Sekiranya berlaku pelanggaran arahan berkenaan, tindakan tatatertib akan diambil oleh pihak pentadbiran.

“Orang ramai dan ibu bapa juga perlu peka dengan arahan ini dan mematuhi polisi kekal tersebut bagi mengelak sebarang pertelingkahan di pintu masuk wad hospital itu nanti,” katanya.