Tidak wajar perbesarkan Pakatan Nasional di Melaka

Muhammad Jailani (tengah) menunjukkan poster Festival Melaka Rock The City di pejabat Bahagian Promosi Pelancongan di Ayer Keroh di sini hari ini.
Muhammad Jailani (tengah) menunjukkan poster Festival Melaka Rock The City di pejabat Bahagian Promosi Pelancongan di Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Isu wujud gerakan Pakatan Nasional di negeri ini tidak wajar digembar-gemburkan jika tiada sumber sahih.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, keadaan sekarang tidak boleh berterusan dengan politik sahaja sehingga mengatasi isu masalah rakyat.

Katanya, masa kini lebih sesuai dimanfaatkan oleh kepimpinan negeri menjalankan tugas serta amanah yang diberikan.

"Saya tidak bersetuju apabila ada pihak yang mendakwa Melaka akan menjadi negeri pertama wujud Pakatan Nasional kerana PH hanya setahun lebih mentadbir negeri ini.

"Saya pun tidak perasan mengenai Pakatan Nasional kerana sibuk bekerja dan tiada masa untuk merancang sesuatu. Cerita ini sudah setahun dimainkan tapi saya masih di sini menjalankan tugas sebagai Exco," katanya.

Muhammad Jailani berkata demikian ketika sidang media Festival Melaka Rock The City di Pejabat Bahagian Promosi Pelancongan di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani yang juga Ahli Jawatankuasa PKR negeri berkata, beliau tidak menafikan ada masanya seseorang Exco tidak dapat hadir ke mesyuarat Exco kerana mempunyai urusan lebih penting termasuk kemungkinan berada di luar negara namun tidak bermakna menggambarkan mereka tidak senada dengan kerajaan negeri.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR Melaka G Rajendran mengakui beliau telah banyak kali dimaklumkan mengenai gerakan Pakatan Nasional di negeri ini lebih-lebih lagi mendakwa parti keramat itu telah jauh terpesong dari landasan perjuangan dan yang tinggal sekarang hanya untuk mendapatkan kuasa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kenyataan itu bukanlah untuk memburukkan hubungan PH di negeri ini namun itulah hakikat yang harus diterima dan dipandang positif untuk memperbaiki diri.

Dalam pada itu, Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, kerajaan negeri menyasarkan 30, 000 pengunjung akan menghadiri festival itu yang akan diadakan di Padang Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Banda Hilir, bermula 28 Februari hingga 1 Mac depan.

Jelasnya, festival anjuran bersama Drug Free Malaysia (DFM) itu sebagai usaha untuk menarik 19 juta pelancong ke Melaka termasuk pelancong domestik.

"Penganjuran ini akan menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk acara sukan dan usaha menggalakkan golongan muda melakukan aktiviti sihat dan cergas sekali gus menjauhi najis dadah," katanya.