Promosi Kedah di awan biru bersama Firefly

Asmirul Anuar (tengah) bersama tetamu kenamaan selepas melancarkan logo kempen TMM2020 dan pakej pelancongan ‘The Best of Langkawi Discovery’ antara kerajaan negeri Kedah, Tourism Malaysia dan Firefly di Subang Skypark.
Asmirul Anuar (tengah) bersama tetamu kenamaan selepas melancarkan logo kempen TMM2020 dan pakej pelancongan ‘The Best of Langkawi Discovery’ antara kerajaan negeri Kedah, Tourism Malaysia dan Firefly di Subang Skypark.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mengorak langkah mempromosi pelancongan negeri itu di awan biru apabila menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan Firefly.

Exco Pelancongan dan Seni Budaya Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, kerjasama itu membolehkan logo Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 dipaparkan pada pesawat Firefly termasuk info berkaitan produk pelancongan Kedah di ruang simpanan serta tempat hidangan dalam pesawat.

Menurutnya, ini termasuk hiasan dalaman yang lebih ceria dan berwarna-warni serta pelbagai imej makanan, budaya, pantai, ekopelancongan, seni dan pemandangan indah.

“Kesemua paparan visual itu diharap dapat menyemarakkan kempen TMM2020 untuk pasaran domestik dan ASEAN, selain menarik minat generasi muda untuk menghargai produk pelancongan domestik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu Asmirul Anuar mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merasmikan pelancaran logo kempen TMM2020 dan pakej pelancongan ‘The Best of Langkawi Discovery’, antara kerajaan negeri Kedah, Tourism Malaysia dan Firefly di Subang Skypark.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Dr Noor Zari Hamat, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof serta Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See.

Asmirul Anuar berkata, selain paparan logo dan imej, Firefly turut menawarkan potongan diskaun 30 peratus untuk pelancong menikmati pelbagai pakej pelancongan menarik.

“Pakej ke destinasi unggul Pulau Langkawi menjadi pembuka tirai tawaran Firefly dengan tempoh tempahan bermula pada 17 Februari hingga 13 Mac depan bagi tempoh perjalanan sehingga 30 Jun 2020,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 70 buah hotel di Langkawi menjayakan pakej terbabit termasuk menawarkan baucar penginapan percuma aktiviti island-hopping serta tiket ke Crocodile Adventureland.

“Pakej ‘The Best of Langkawi Discovery’ menyasarkan kepuasan berganda pelancong melalui aspirasi ‘See It, Hear It, Sense It, Feel It, Touch It, Taste It’ dan dijangka dapat merancakkan pelancongan domestik untuk mengimbangi penurunan kedatangan pelancong antarabangsa,” katanya.