Suami isteri edar dadah diberkas

Shanmugamoorthy menunjukkan barang kemas yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Shanmugamoorthy menunjukkan barang kemas yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan sepasang suami isteri dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah dalam operasi berasingan pada 12 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul pada mulanya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di Batu 4 Jalan Ipoh pada jam 8 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui beg silang berisi dadah disyaki methamphetamine seberat 250 gram dianggarkan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM8,000.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh dan menahan seorang wanita berusia 32 tahun serta merampas dadah jenis ketamin seberat 1.13 gram bernilai RM170," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Menurutnya pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM213,820 selain wang tunai sebanyak RM323,219 yang dijumpai di atas siling dan di dalam peti besi.

Shanmugamoorthy berkata, polis turut menyita dua kereta iaitu, Nissan Sentra, Volkswagen Passat serta dua motosikal Yamaha LC dan Yamaha Nouvo LC membabitkan jumlah RM54,500.

Beliau berkata, ujian saringan awal urin mendapati hanya suspek lelaki positif dadah.

"Pasangan suami isteri itu ditahan reman seminggu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: