X

Kindly register in order to view this article
!

Impak selebriti acara karpet merah

DARI KIRI: Portman dan Monae hadir dalam konsep fesyen dan tata rias tersendiri.
A
A

ANUGERAH Akademi atau Oscars ke-92 baru saja melabuhkan tirai dalam suasana gilang-gemilang. Tahniah kepada para pemenang!

Namun begitu, pada segmen minggu ini saya tidak akan membicarakan soal kemenangan, sebaliknya perihal penampilan selebriti yang mengatur langkah di karpet merah.

Umum mengetahui, majlis berprestij seperti Oscars dan anugerah hiburan lain baik tempatan mahupun antarabangsa, acara karpet merah sering menjadi tumpuan.

Penganjuran acara berkenaan adalah untuk menghangatkan suasana sejam sebelum majlis utama berlangsung. Biarpun kelibat selebriti melintasi karpet merah dalam tempoh beberapa minit sahaja, tetapi impaknya kuat khususnya kepada stesen televisyen dan rumah fesyen.

Rata-rata program televisyen yang menyiarkan acara karpet merah misalnya mampu mencapai rating tinggi selepas ditonton jutaan penonton dari seantero dunia.

Bukan sahaja pakaian, malah tatarias wajah, dandanan rambut, aksesori dan sepatu digayakan, dirakam dengan secara terperinci.

Sementara itu, jenama fesyen antarabangsa dan tempatan menyifatkan acara karpet merah merupakan senjata terbaik untuk mempromosi dan mengukuhkan label mereka dalam kalangan pencinta fesyen.

Justeru, salah satu mekanisme diterapkan adalah dengan membaluti tubuh selebriti dalam persalinan busana anggun dan elegan.

Rekaan gaun digayakan selebriti popular di karpet merah bukan sekadar sajian bidikan lensa kamera jurugambar profesional, malah platform untuk menambat hati pembeli berpotensi.

Kadangkala selain busana, jenama produk kecantikan dan aksesori yang mencantikkan selebriti terbabit turut mencuri perhatian umum.

PELAKON Catriona Balfe tampak anggun menggayakan busana hitam dan merah jambu koleksi Valentino.
PELAKON Catriona Balfe tampak anggun menggayakan busana hitam dan merah jambu koleksi Valentino.

Rumah fesyen antarabangsa terkemuka seperti Chanel, Versace dan Armani, telah sekian lama menggunakan pengaruh selebriti untuk mengukuhkan jenama masing-masing. Ini berikutan konsep ‘celebrity dressing’ merupakan cara paling mudah dan berkesan bagi pereka dan jenama baharu bertapak dalam industri fesyen.

Pengaruh selebriti secara tidak langsung memberikan lonjakan hebat dari segala segi. Hasilnya, kolaboratif antara dua pihak akan berterusan sehingga berjaya meningkatkan hasil jualan sesebuah jenama.

Keserasian pereka, selebriti

Sebagai contoh, lihat sahaja penampilan pelakon, Natalie Portman. Hadir dalam busana rekaan Dior Haute Couture, dres digayakan beliau menjadi bualan hangat pada acara karpet merah Oscars 2020 kerana menerapkan nama barisan pengarah filem wanita yang disulam menggunakan benang rona emas di sisi hadapan cape nuansa hitam.

Difahamkan, konsep sulaman berkenaan simbolik ketidakpuasan hati Portman apabila nama-nama berkenaan tidak tersenarai dalam kategori Pengarah Terbaik tahun ini.

Sama ada diakui atau tidak, pengaruh selebriti sememangnya menyumbang kepada kumpulan pereka baharu untuk lebih dikenali termasuk mendapatkan prospek bisnes. Bagaimanapun, kunci utama pereka dan selebriti perlu memiliki kesefahaman dan keserasian dalam mencapai kesepakatan bersama.

Kedua-dua pihak harus bergandingan memikirkan idea, inspirasi dan melakukan penyelidikan supaya dapat menghasilkan karya menarik, segar, unik dan mempunyai nilai estetik yang tinggi.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan koleksi busana yang dihasilkan kelak praktikal, komersial dan bersesuaian dengan ruang lingkup budaya setempat serta aliran trend global.

Namun begitu, sukar untuk menidakkan bahawa bukan semua kerjasama antara pereka dengan selebriti membuahkan hasil lumayan. Kadangkala rekaan baju yang diperagakan tidak bersesuaian dengan imej selebriti, lalu mengundang kritikan.

FAIZAL
FAIZAL

Atas faktor tersebut, kebanyakan pereka berpengalaman sentiasa menasihatkan agar pereka muda tidak terlalu terburu-buru untuk mendapatkan ‘limelight’ pada acara karpet merah tanpa membuat persediaan rapi secara holistik.

Sesetengah pereka pucuk muda didapati menghasilkan rekaan yang tidak bersesuaian konsep majlis, potongan badan, warna kulit dan personaliti selebriti pilihan dek terlalu mencuba.

Tindakan itu harus dielakkan, apatah lagi pada zaman moden yang mana warganet pantas memperdebat kekurangan dan kelebihan busana menerusi laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

Beginilah lumrah kehidupan, ada masa rekaan dipuji melangit dan ada masanya pula pakaian akan dicerca.

Walhal, sebahagian besar individu yang melemparkan komen dan pendapat sedikit pun tidak mempunyai ilmu fesyen secara formal.

Fesyen itu sifatnya universal dan subjektif. Akan tetapi, pereka perlu melunaskan tanggungjawab untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat agar ia menjadi legasi dan rujukan untuk masa depan.

Dalam pada itu, fesyen juga bukan tentang glamor sahaja, sebaliknya, merupakan komentar sosial dan cerminan seni itu sendiri. Sehubungan itu, pereka harus lebih terbuka, menerima idea baharu dan sentiasa mendengar keperluan industri lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang penuh cabaran ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!