APEC 2020: Malaysia ketuai rangka polisi agenda pembangunan PKS

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi pada Majlis Perasmian APEC Young Entrepreneurs Kick-Off di Hotel Intercontinental hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi pada Majlis Perasmian APEC Young Entrepreneurs Kick-Off di Hotel Intercontinental hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menyaksikan Malaysia menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bertanggungjawab dalam proses membangunkan dokumen strategik berkaitan polisi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara-negara APEC.

Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata dokumen strategik itu bagi menggantikan 'Boracay Action Agenda to Globalize Micro, Small, and Medium Enterprises (BAA-MSMEs) yang akan tamat tahun ini.

Menurutnya, Malaysia bertanggungjawab mengemukakan cadangan-cadangan bagi menggerakkan agenda PKS mulai tahun 2020 dan tahun seterusnya di bawah platform APEC.

"Pembentangan mengenai polisi agenda itu akan dibuat pada mesyuarat berlangsung di Amerika Syarikat (AS) pada Mei depan untuk dibincangkan dengan negara-negara APEC lain.

"Seterusnya kita akan ada sesi dialog pada Julai dan akan dibentangkan oleh Menteri MEDAC, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof kepada menteri-menteri PKS semasa minggu PKS APEC 2020 berlangsung 21 hingga 24 September.

"Polisi agenda itu kemudian akan dibentangkan kepada ketua-ketua negara APEC pada November kelak,"katanya pada sidang media selepas merasmikan APEC Young Entrepreneurs Kick-Off Workshop di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Noor Azmi Mat Said beramah mesra dengan peserta-peserta APEC Young Entrepreneurs Kick-Off pada Majlis Perasmian APEC Young Entrepreneurs Kick-Off di Hotel Intercontinental hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Noor Azmi Mat Said beramah mesra dengan peserta-peserta APEC Young Entrepreneurs Kick-Off pada Majlis Perasmian APEC Young Entrepreneurs Kick-Off di Hotel Intercontinental hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Mengulas lanjut, Wan Suraya berkata, kandungan polisi dokumen tersebut masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, komponen polisi berkenaan akan merangkumi fokus berkaitan inklusiviti, inovasi dan digital.

"Antara intipati polisi adalah apa yang sedang dijalankan oleh MEDAC di Malaysia misalnya daripada segi pembangunan keusahawan, digital, sosial agenda, sosial keusahawan dan sebagainya.

"Intipati juga merangkumi kerjasama antara masyarakat dan sektor swasta kerana kita rasa (pembangunan PKS) tidak hanya boleh terserah kepada pihak kerajaan semata-mata," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corl Malaysia, Azmi Said berkata, APEC Young Entrepreneurs Kick-Off Workshop merupakan program APEC pertama anjuran MADEC sempena Persidangan APEC 2020.

Menurutnya, seramai 150 peserta terdiri daripada usahawan belia termasuk peserta antarabangsa dari lapan negara berpeluang menyerlahkan potensi perniagaan mereka menerusi pendedahan yang diperoleh dalam program selama dua hari itu.

"Di antara aktiviti yang berlangsung di sepanjang program ini adalah sesi perkongsian bersama usahawan berjaya dan para profesional dalam bidang pemasaran digital, inovasi dan pembiayaan PKS.

"Sesi 'pitching' turut dianjurkan bagi memberi peluang kepada usahawan belia untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pelabur yang berpotensi," katanya.

Selain Malaysia, APEC Young Entrepreneurs Kick-Off Workshop turut disertai oleh peserta dari Indonesia, Jepun, Thailand, Mexico, Filipina, Peru, Rusia dan Papua New Guinea.