X

Kindly register in order to view this article
!

71 peratus responden jangka ekonomi Malaysia bertambah baik tahun ini

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 71 peratus responden yang berpangkalan di Malaysia menjangkakan situasi ekonomi domestik bertambah baik tahun ini, menurut firma sumber manusia, Randstad.

Ia berdasarkan tinjauan Workmonitor suku keempat 2019 oleh Randstad yang turut mendapati 82 peratus responden mengharapkan majikan mereka mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada 2020 berbanding 2019.

Pengarah Urusan Randstad Singapura dan Malaysia, Jaya Dass berkata, banyak perniagaan tempatan juga berharap melihat lencongan daripada perang perdagangan global selain peningkatan keyakinan pengguna untuk mengharungi 2020.

“Di samping itu, banyak inisiatif kerajaan untuk memperbaiki infrastruktur dan memajukan bandar raya sekitar Kuala Lumpur dijangka dijalankan tahun ini.

“Faktor-faktor ini meningkatkan keyakinan warga kerja domestik, yang menjangkakan lebih banyak pekerjaan baharu, mencabar dan yang memberi ganjaran di pasaran.

“Bagaimanapun, perniagaan tempatan masih berhati-hati mengenai impak ekonomi daripada kelembapan pertumbuhan perdagangan global dan penularan Covid-19,” menurut Randstad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan ekonomi yang dijangkakan lebih baik, pekerja mengharapkan kenaikan gaji dan bonus di Malaysia, dengan lebih lapan daripada 10 responden mahu kenaikan gaji (81 peratus) atau bonus satu kali (84 peratus) pada akhir tahun fiskal majikan masing-masing.

“Sejajar dengan hasil dapatan kaji selidik kami yang lain, pekerja Malaysia kerap meletakkan gaji dan ganjaran kewangan sebagai faktor penting yang akan menentukan kesetiaan mereka kepada majikan.

“Memandangkan kualiti kehidupan di Malaysia lebih baik, warga kerja tempatan mahu memperoleh pendapatan lebih tinggi bukan hanya untuk membayar keperluan mereka malah menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!