32 tahun, Celcom bersama bangunkan negara

Celcom yang berpegang kepada 'Satu visi, satu cita-cita dan menang bersama' sentiasa memacu agenda digital negara demi pembangunan rakyat serta menjadi sebuah organisasi digital yang menginspirasikan negara menjelang tahun 2022.
Celcom yang berpegang kepada 'Satu visi, satu cita-cita dan menang bersama' sentiasa memacu agenda digital negara demi pembangunan rakyat serta menjadi sebuah organisasi digital yang menginspirasikan negara menjelang tahun 2022.
A
A
A

SEPANJANG 32 tahun, Celcom Axiata Berhad (Celcom) terus komited dan konsisten menawarkan produk serta perkhidmatan cemerlang dalam usaha memberikan pengalaman telekomunikasi terbaik kepada masyarakat dan negara.

Sejak awal penubuhannya pada 1988, Celcom sebagai syarikat telekomunikasi mudah alih utama di negara ini sentiasa berusaha memajukan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif dalam menambah baik nilai kehidupan keseluruhan ekosistem masyarakat Malaysia.

Ini termasuk pelanggan, rakan perniagaan, vendor, dan kontraktor yang mana Celcom memberi nilai kepada aktiviti perniagaan melebihi keuntungan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, berpandukan kompas hala tuju perniagaan, Celcom terus bersemangat memacu organisasi itu dengan menyeimbangkan antara perniagaan dan aspirasi menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital negara.

Beri manfaat secara menyeluruh

Dalam tempoh berkenaan, Celcom menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara sehingga meraih pelbagai pengiktirafan, antaranya dinobat sebagai No.1 Untuk Ketersediaan 4G oleh Opensignal pada 25 September 2019 dan diiktiraf dengan dua anugerah global iaitu Anugerah Kehormat untuk Pengalaman Pelanggan Terbaik 2019 dan Anugerah Perak untuk Penglibatan Pekerja Terbaik 2019 pada 24 September 2019; dan kejayaan merangkul Anugerah Emas untuk kategori Rangkaian Komunikasi pada Anugerah Jenama Putra 2019.

“Kejayaan yang diraih membuktikan matlamat kami dalam usaha menyediakan pengalaman pelanggan terbaik dalam setiap aspek perkhidmatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, berpegang kepada 'satu visi, satu cita-cita dan menang bersama', Celcom fokus menjadi syarikat telekomunikasi yang berinovatif, cekap dan versatil dengan menjadikan keperluan pelanggan yang semakin berkembang sebagai keutamaan.

Artikel Berkaitan:

“Kami menjalin kerjasama untuk membina ekosistem yang kukuh dalam mencipta kandungan bermutu yang mana ia tidak hanya sekadar menjual produk,” katanya.

Idham beramah mesra dengan kanak-kanak yang menggunakan perkhimatan internet di Pusat Internet Kampung Telipok, Sabah.
Idham beramah mesra dengan kanak-kanak yang menggunakan perkhimatan internet di Pusat Internet Kampung Telipok, Sabah.

Celcom terus progresif dalam memacu agenda digitalisasi negara dengan inisiatif dalam menyediakan hubungan rangkaian ke setiap ceruk, serta membangunkan teknologi komunikasi generasi kelima (5G) di negara ini.

Baru-baru ini YAB Perdana Menteri telah merasmikan Projek Demonstrasi 5G Malaysia di Langkawi, di mana Celcom mempamerkan tujuh kes kegunaan 5G berkaitan dengan penyelesaian keamanan dan keselamatan bandar pintar, dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Pelancongan (MPLBP) Pelabuhan Langkawi dan beberapa agensi lain.

Idham percaya bahawa 5G bakal menjadi komponen penting dalam mencapai status negara maju, menggalak inovasi dan permulaan kepada usaha negara memperkukuhkan ekonomi bagi mencapai pertumbuhan mapan, serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital negara.

Tidak mengabaikan tanggungjawab memajukan rakyat

Celcom turut berperanan mengukuhkan pembangunan masyarakat menerusi sektor keusahawanan dengan beberapa inisiatif antaranya program pembangunan usahawan untuk memacu pertumbuhan usahawan vendor tempatan dan masyarakat luar bandar, serta kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan dan Google bagi program 'Bootcamp' pemasaran digital.

“Dalam mencapai misi kami untuk menjadi organisasi digital yang menginspirasikan negara menjelang 2022, Celcom tidak meninggalkan tanggungjawabnya dalam membina masyarakat melebihi keuntungan.

“Menjadi sebuah organisasi digital adalah lebih daripada sekadar memiliki aplikasi, portal, e-store atau chatbots, sebaliknya digitalisasi dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) harus bergandingan dalam melaksanakan sesuatu perancangan,” kata Idham.

Fokus untuk membangun bersama

Celcom merupakan salah satu syarikat berkaitan kerajaan yang terlibat dalam Program Pembangunan Vendor (VDP) yang diperkenalkan pada tahun 2016 dan sehingga kini mempunyai sebanyak 50 syarikat vendor yang menyertai VDP.

Dengan bimbingan dan usahasama dengan Celcom, dua daripada syarikat ini telah menjadi juara tempatan dan satu juara serantau, dan seterusnya dengan harapan untuk melahirkan juara global.

Pada 2019, Celcom telah melancarkan VDP 2.0, sebuah skim baharu dalam usaha berterusan untuk menyokong usahawan vendor dalam ekosistemnya bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing usahawan untuk memenuhi peluang dan cabaran masa depan IR4.0.

Program VDP 2.0 di bawah Celcom sejajar dengan salah satu teras menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui inovasi yang terkandung dalam Dasar Keusahawanan Kebangsaan Kerajaan 2030 (DKN2030) yang dimajukan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC)

Memupuk wawasan ekonomi digital di kalangan graduan

Dengan jumlah graduan yang semakin meningkat setiap tahun, ruang dalam pasaran kerja menjadi suatu kebimbangan kepada kerajaan khususnya dengan situasi ekonomi yang mencabar.

Justeru, Celcom telah berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melaksanakan program KPM-Celcom Siswapreneur melalui beberapa inisiatif antaranya SiswaDay iaitu sesi perkongsian ilmu dalam memupuk minda, kemahiran dan bakat pelajar dalam keusahawanan; SiswaCommerce merupakan pembangunan usahawan muda dengan penyediaan fasiliti gerai makanan mudah alih untuk membolehkan pelajar memulakan perniagaan dan SiswaMall iaitu pembangunan usahawan muda ke arah ekonomi digital.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama lebih 20 universiti tempatan.

Pendigitalan lebih inklusif

Misi inklusiviti Celcom bagi melibatkan mereka yang kurang bernasib baik diperluaskan melalui kolaboratif bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan membentuk semula komuniti luar bandar sebagai pemacu ekonomi tempatan dan menceburi e-dagang melalui tunjuk ajar dan latihan kemahiran.

“Celcom turut memacu agenda digital dengan melibatkan penduduk di kawasan pedalaman Tasik Chini, khususnya golongan orang asli melalui hubungan digital dan e-keusahawanan.

“Selama 32 tahun dan seterusnya, Celcom juga akan bersama negara dalam memajukan masyarakat sebagai pemacu digital negara,” kata Idham.