TPM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga artis Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi tadi di Jakarta.

“Takziah buat keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair yang kembali ke rahmahtullah hari ini.

“Semoga keluarganya tabah menghadapi dugaan ini dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya dalam catatan di laman Twitter dan Facebook.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ashraf.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Asyraf Daniel Mohamed Sinclair yang telah meninggal dunia pada pagi ini.

“Saya berdoa agar keluarga Allahyarham akan tabah dalam menghadapi dugaan ini,” katanya menerusi catatan di laman Facebook dan Twitternya.

Menurut agensi berita Antara yang memetik Dodi, iaitu pengurus kepada Bunga Citra Lestari (isteri kepada Ashraf), Ashraf, 40, meninggal dunia di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC) di Kuningan pada jam 4.51 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Ashraf Sinclair meninggal dunia

Artikel Berkaitan:

Pemergian mengejut Ashraf Sinclair, rakan artis dua negara berduka

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair yang lahir di London, England ialah artis Malaysia yang mengahwini Bunga Citra Lestari pada 2008, dan dikurniakan seorang anak, Noah Aidan Sinclair, 10.

Menurut Dodi, setakat ini belum diputuskan tempat dan waktu pengebumian jenazah artis yang pernah membintangi filem 'Gol & Gincu' itu.

Ashraf kemudian meneruskan kariernya di Indonesia dan popular menerusi filem komedi romantis, Saus Kacang, pada 2008 dan beberapa siri sinetron (drama bersiri). - Bernama