Covid-19: Angka kematian di China melepasi 1,800 orang

Orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga memakai topeng muka ketika mengunjungi pasar di Beijing semalam. - Foto AFP
Orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga memakai topeng muka ketika mengunjungi pasar di Beijing semalam. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Angka kematian akibat jangkitan koronavirus (Covid-19) terus melonjak kepada 1,868 setakat pagi ini selepas 98 orang lagi meninggal dunia, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara China.

Sebanyak 72,436 kes dicatatkan di seluruh negara dengan tambahan 1,888 kes baharu direkodkan di seluruh China.

Kebanyakan kes kematian berlaku di wilayah Hubei dengan lima dilaporkan di wilayah lain.

Jumlah kes baharu dilaporkan di luar wilayah Hubei hanya 79, turun dari 890 pada 4 Februari lalu.

Ia menandakan bilangan kes paling rendah di luar wilayah yang dilanda virus sejak 23 Januari.

Suruhanjaya Kesihatan dan Kesihatan Negara China mengatakan angka penurunan itu merupakan tanda bahawa wabak itu terkawal.

Bagaimanapun, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, ia mesti ditafsirkan dengan sangat berhati-hati.

"Terlalu awal untuk mengetahui sama ada penurunan kes akan berterusan," katanya kepada media semalam.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Kesihatan dan Kesihatan Negara China telah meminta pesakit yang pulih daripada Covid-19 untuk menderma darah supaya plasma darah dapat diekstrak bagi merawat pesakit lain yang kritikal.

Menurut seorang pegawai kesihatan, plasma darah dari pesakit yang telah pulih daripada radang paru-paru yang dicetuskan oleh Covid-19 mengandungi antibodi yang boleh membantu mengurangkan beban kritikal pesakit lain.

Lebih 12,000 pesakit positif Covid-19 di China telah pulih dan dibenarkan keluar selepas menerima rawatan. - CNA