EZ Qurban terus mengorak langkah

Azhar (tiga dari kanan) menerima sijil MBR untuk tiga pengiktirafan diterima EZ Qurban daripada Nurul Fatihah (dua dari kanan) ketika Majlis Apresiasi EZ Qurban 2020 di ibu negara pada 12 Januari lalu.
Azhar (tiga dari kanan) menerima sijil MBR untuk tiga pengiktirafan diterima EZ Qurban daripada Nurul Fatihah (dua dari kanan) ketika Majlis Apresiasi EZ Qurban 2020 di ibu negara pada 12 Januari lalu.
A
A
A

EZ Qurban Sdn Bhd (EZ Qurban) mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan tiga rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBR) tahun lalu.

Pengerusi Ez Group Of Companies, Azhar Ab Shukur berkata, EZ Qurban menerima tiga pengiktirafan iaitu Penyertaan Terbesar Dalam Program Korban iaitu 64,792 peserta dan Penyertaan Terbesar Berdaftar Dalam Program Korban (dalam masa 24 jam) dengan seramai 4,361 orang.

Menurutnya, EZ Qurban juga diiktiraf sebagai Organisasi Akikah dan Korban Yang Pertama Menerima MS ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) Skop Aktiviti: Penyediaan Pengurusan Jenama Ez Qurban dan Pengurusan Akikah dan Korban.

"Pada 7 Januari lalu, EZ Qurban diiktiraf pula sebagai Jenama Terkenal Pilihan Rakyat Malaysia setelah dinobatkan sebagai penerima anugerah kategori People's Choice Award.

"Pengiktirafan ini disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 anjuran Majlis Dakwah Negara," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi EZ Qurban 2020 di The Love@MaTiC di sini 12 Februari lalu.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah EZ Qurban Sdn Bhd, Jalaluddin Hassanuddin Al-Baghdadi; Pengarah Pemasaran EZ Qurban Sdn Bhd, Ahmad Fadzlullah Hasanuddin dan wakil MBR, Nurul Fatihah Mahmood serta Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi.

Azhar berkata, anugerah digelar 'Jabir Ibn Hayyan Emerging Brand Of The Year’ itu diberikan atas inisiatif ditunjukkan EZ Qurban yang pesat membangun dan menyokong kecemerlangan melalui prinsip dan nilai-nilai Islam.

Katanya, selepas mencapai kejayaan demi kejayaan, EZ Qurban terus mengorak lagi satu langkah dalam usaha untuk memperkasakan dan memperluaskan misi-misi bantuan kepada golongan memerlukan menerusi penubuhan Yayasan EZ Prihatin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, yayasan itu ditubuhkan secara rasmi pada 21 Ogos 2019 dan beriltizam menjadi sahabat asnaf di segenap pelosok dunia.

"Dengan slogan 'kebajikan tanpa sempadan', pertubuhan kebajikan ini menjadi wadah buat asnaf seperti ibu tunggal, fakir miskin dan mualaf sebagai pemacu mereka ke arah masa hadapan lebih cerah berlandaskan penerapan nilai-nilai murni.

"Jadilah sebahagian daripada sahabat asnaf dengan menghulurkan sumbangan dan sokongan yang tidak berbelah bagi ke atas Yayasan EZ Prihatin," katanya.

Mengulas mengenai Majlis Apresiasi EZ Qurban 2020, beliau berkata, majlis itu dianjurkan oleh EZ Qurban untuk menghargai dan mengiktiraf kerjasama serta sumbangan kakitangan, rakan strategik serta media.

Azhar berkata, Syariffuddin Supeni, 31, yang pernah bertugas sementara pada musim korban 2013 dan mula berkhidmat dengan Ez Qurban pada tahun 2015, antara kakitangan yang terpilih menerima Anugerah Staf Cemerlang.

Menurutnya, anak bongsu daripada lapan beradik yang berasal dari Sabak Bernam itu kini memegang jawatan sebagai Pegawai Unit Penerbitan di Ez Qurban.

Katanya, seorang lagi kakitangan yang menerima pengiktirafan ialah Setiausaha EZ Qurban, Siti Hajar Zulkifli Wong, 32.

Azhar berkata, anak kelahiran Kuala Lumpur berketurunan Cina itu mula bertugas di Ez Qurban pada tahun 2012.

"Beberapa anugerah lain turut disampaikan pada majlis itu antaranya Anugerah Liputan Terbaik yang dimenangi Mohd Firdaus Ibrahim untuk laporan aktiviti EZ Qurban sepanjang 2019 di Harian Metro.

Beliau berkata, anugerah turut diberikan kepada Syahril A Kadir untuk liputan Kembara Korban Afrika di Burundi dan Rwanda menerusi media sosial serta Siva Shankaran Baskaran bagi liputan Hari Raya Korban 2018 di Indonesia menerusi rancangan Mingguan Wanita yang ditayangkan di Astro.

Azhar berkata, EZ Qurban menghargai rakan-rakan niaga menerusi Anugerah Rakan Niaga Cemerlang yang disampaikan kepada Inter XS Media Sdn Bhd, Horizon Media Sdn Bhd dan Billplz Sdn Bhd.

Dalam pada itu katanya, pihaknya turut menyampaikan Anugerah Khas EZ Qurban kepada pelakon dan pelawak, Abon atau nama sebenarnya Shahrizan Ahmad.

"Beliau mula bersama EZ Qurban untuk rakaman suara iklan Korban dan Akikah sejak awal penubuhan EZ Qurban pada tahun 2007.

"Abon juga menjadi Duta Kembara Korban untuk program-program Kembara Korban ke beberapa negara bersama EZ Qurban dan EZ Kembara," katanya.