Covid-19: Nak melancong atau tidak?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Angka kematian akibat jangkitan koronavirus (Covid-19) global kini mencatatkan 1,773 setakat pagi kelmarin selepas lebih 100 orang lagi meninggal dunia di wilayah Hubei, China.

Bagaimanapun, di Malaysia dalam perkembangan kelmarin, Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kes melibatkan seorang wanita warganegara China yang sebelum ini dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tiada kes baharu dilaporkan kelmarin menjadikan jumlah kes Covid-19 yang masih menerima rawatan di wad adalah seramai 14 orang dan jumlah kes yang telah discaj adalah seramai lapan orang.

Umum mengetahui wabak Covid-19 turut memberi tempias yang bukan sedikit kepada industri pelancongan negara terutama ketika negara dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Empat hari lalu, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kementeriannya akan berusaha mencari inisiatif bagi membantu para pemain industri pelancongan di negara ini yang terjejas akibat Covid-19.

“Kita telah mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan bersama pemain-pemain industri pelancongan dan banyak masalah yang mereka utarakan termasuk penurunan sehingga 30 peratus ke tempat-tempat penginapan mereka,” katanya.

Malah, penyedia perkhidmatan pelancongan seperti syarikat penerbangan, hotel, restoran dan taman tema disaran menawarkan promosi hebat yang mampu memikat pelancong domestik dalam kempen VM2020.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Tan Kok Liang berkata, langkah itu akan menarik lebih ramai pelancong tempatan dan mengurangkan kesan kerugian akibat pembatalan tempahan baru-baru ini susulan penularan wabak itu.

Artikel Berkaitan:

“Hotel mewah juga boleh menawarkan cuti inap kepada penduduk pada harga rendah tanpa menjejaskan pasaran biasa mereka dan melalui langkah ini, orang yang bercuti akan mendapat nilai terbaik untuk wang mereka,” katanya.Sementara itu, pengusaha hotel di pulau Langkawi dikatakan bersetuju menurunkan harga bilik 30 hingga 70 peratus bagi menarik kembali kehadiran pelancong.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis, Razmi Rahmat berkata, langkah itu dilaksanakan oleh 45 pengusaha hotel di bawah naungan persatuan itu bagi mengurangkan impak daripada kemerosotan kedatangan pelancong serta pembatalan tempahan hotel oleh pelancong China dan rakyat tempatan.

“Orang ramai boleh memeriksa dalam talian di laman web atau media sosial hotel terlibat. Tawaran diberikan oleh hotel tiga bintang ke atas,” katanya.

Begitu juga dengan Melaka yang dikatakan akan mengubah strategi pelancongan berikutan kelembapan sektor tersebut.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, rancangan itu termasuk memberi fokus kepada pelancong tempatan memandangkan menerima maklum balas pemain industri perhotelan yang kini menghadapi banyak pembatalan pelancong dari China.

Tetapi, dengan situasi wabak ini, pelancong domestik juga rasanya berfikir panjang untuk melancong hatta walau dalam negara. Bukan tidak yakin dengan usaha kerajaan mengekang wabak itu tetapi bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada merawat.

Jika ada yang ingin meneruskan hasrat untuk melancong, tiada halangan untuk itu. Apa yang penting kebersihan mesti menjadi perkara utama yang diberi perhatian.

Yang pasti, melancong atau tidak, jangan sesekali sebarkan maklumat palsu berkenaan Covid-19!