Tingkatkan usaha membaca

A
A
A

PADA pagi Khamis 13 Februari 2020, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pemangku Menteri Pendidikan melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bandar Baru Bangi.

Ia merupakan inisiatif kerajaan dalam usaha meningkatkan keberhasilan pembacaan rakyat di negara ini. Perdana Menteri menjelaskan bahawa rakyat Malaysia membaca 15 judul buku setahun sementara rakyat negara-negara maju membaca 40 judul buku setahun.

Melalui inisiatif itu, kerajaan akan memantapkan persekitaran asas dalam usaha galakan membaca dan ketersediaan mental rakyat secara agresif, kreatif dan inklusif. Ia selaras hasrat menjadikan Malaysia negara membaca dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Melalui slogan #MalaysiaMembaca, DMK anjuran Kementerian Pendidikan itu memberi fokus untuk meningkatkan jumlah pembacaan, pembaca dan sasaran pembaca yang lebih menyeluruh serta melalui penglibatan semua peringkat masyarakat. Ini memperlihat kesungguhan pihak kerajaan untuk menjadikan amalan membaca satu budaya.

Buku masih mempengaruhi kita dan buku yang kita baca menunjukkan siapa kita. Daripada keajaiban sains dan dunia tabii, ke isu-isu keadilan serta etnik, hinggalah ke alam keimanan dan keagamaan. Tanpa buku, alam-alam tersebut boleh diketahui menerusi media lain, tapi sudah tentu perinciannya tidak sama dengan apa yang kita dapati daripada buku.

Semasa dua dasawarsa yang lepas, satu fenomena baru telah melanda dunia membaca. Internet dan media sosial menjadikan otak kita mudah berfungsi secara tidak terfokus kepada sesuatu tajuk pada masa lama. Apabila kita mula membaca dua, tiga atau empat perenggan, mata kita mulalah menjadi 'liar'.

Apabila kita membaca makalah atau laporan dalam talian, mata kita mudah menjeling bar gelongsor (slide bar) untuk mengetahui panjangnya makalah tersebut. Tidak lama kemudian, pandangan mata kita boleh 'merayap' ke pautan yang digaris bawah, lantas kita terus masuk ke tajuk baharu yang tiada kena-mengena dengan makalah asal yang mula kita baca lima minit sebelumnya.

Para neurosaintis menerangkan mengapa fenomena sukar memberi tumpuan kepada apa yang kita baca boleh berlaku. Bila kita belajar sesuatu perkara baru dengan cepat, kita mengalami satu landaan dopamin yang cepat atau dopamine rush. Dopamin ialah kimia organik yang memainkan peranan penting dalam otak dan badan. Dalam otak, dopamin berfungsi sebagai neurotransmiter iaitu bahan kimia yang dikeluarkan oleh neuron (sel-sel saraf) untuk menghantar isyarat ke sel saraf yang lain. Dopamin menyebabkan motivasi seseorang untuk melakukan atau mengelakkan sesuatu tindakan.

Artikel Berkaitan:

Apabila kita melakukan perkara yang memberi nikmat, imbasan otak MRI-fungsional menunjukkan pusat kenikmatan otak menjadi terang (aktif). Dalam kalangan manusia, e-mel, Twitter dan Instagram memainkan peranan tuil landaan dopamin itu.

Sebuah laporan Nielsen tahun 2016 telah menyatakan bahawa seorang warga Amerika Syarikat menggunakan 10 jam setiap hari untuk media sosial termasuk radio, TV, dan semua alat elektronik. Ini bermakna 65 peratus waktu terjaga daripada tidur digunakan untuk media sosial. Jadi masa untuk membaca buku secara serius semakin berkurangan. Kita di Malaysia perlu mendapatkan statistik tahun 2020 ini berkaitan kesan media sosial ke atas kehidupan rakyat negara ini.

Baru-baru ini, saya berbincang dengan dua orang personaliti negara berketurunan Melayu dan Cina. Personaliti pertama berkata bahawa beliau telah menutup akaun Instagramnya kerana dia mahu kembali membaca buku dengan serius. Akaun Instagram telah mengalihkan tumpuannya daripada buku kepada menangani kerenah pengikut Instagramnya. Personaliti yang kedua pula memberitahu bahawa rakyat Malaysia yang berusia muda sudah tidak lagi suka membaca.

Dengan mengukuhkan kembali sifat disiplin serta kemampuan memfokus kita, sama-samalah kita menjayakan usaha suka membaca di negara kita.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP