Nasib bekas pekerja MAPS akan terbela

Pekerja MAPS mengadakan pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia semalam.
Pekerja MAPS mengadakan pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia semalam.
A
A
A

IPOH - Nasib kesemua 217 bekas pekerja Movie Animation Park Studios (MAPS) yang diberhentikan serta-merta bulan lalu bakal terbela.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya berkata, pihaknya berusaha mendapatkan maklumat berhubung tuntutan pekerja mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955.

Menurutnya, kerajaan Perak melalui Perak Corporation Berhad (PCB) turut membantu berkaitan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja.

“Melalui mesyuarat yang diadakan bersama pekerja Animation Theme Park (ATP) tersebut, PCB memaklumkan telah menyalurkan bayaran bagi caruman KWSP kepada bank yang dipilih yang dikendalikan sepenuhnya oleh Messr, Ernst & Young PLT.

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut memainkan peranan dalam memastikan para pekerja mendapat hak mereka,” katanya di sini hari ini.

Katanya, hanya 194 pekerja telah membuat permohonan dan 126 daripadanya telah diluluskan.

“Baki seramai 23 orang lagi diminta untuk membuat pendaftaran dan permohonan segera.

“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak masih dalam proses melengkapkan butiran kesemua pekerja yang terlibat bagi memastikan tiada yang terlepas pandang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelbagai mekanisme dalam bidang kuasa kementerian digunakan untuk membantu para pekerja dan majikan yang terjejas dalam situasi itu.

“Para pekerja yang terkesan digalakkan untuk mendaftar secara talian dalam portal JobsMalaysia atau berkunjung ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh sekiranya berminat mendapatkan bantuan JTK dalam prospek khidmat dan nasihat juga pendaftaran serta pemadanan pekerjaan,” katanya.

Pada 28 Januari 2020, MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta telah ditutup sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: MAPS ditutup berkuat kuasa hari ini