Apa itu ‘disclaimer’?

A
A
A

SERINGKALI kita melihat disclaimer clause atau terma penafian yang berada di mana-mana terutamanya di kawasan parkir, hotel, premis-premis perniagaan dan juga pada tiket-tiket.

Apakah itu terma penafian dan apakah kesan perundangan terhadap terma penafian ini?

Pada umumnya, terma penafian adalah bertujuan memberikan perlindungan kepada pemilik, peniaga atau operator sesuatu bangunan atau servis atau produk daripada didakwa atau menanggung liabiliti jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

Sebagai contoh, kebiasaannya akan terdapat terma penafian yang diletakkan pada pintu atau pagar masuk di kawasan parkir. Biasanya terma penafiannya akan ditulis begini, “meletakkan kenderaan anda di tempat letak kereta ini adalah di atas risiko sendiri”.

Jadi, seandainya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti kereta anda dipecahkan atau dicuri ketika dalam kawasan parkir tersebut, adakah ini bermaksud anda sudah hilang hak untuk mengambil sebarang tindakan terhadap pemilik premis atau operator parkir tersebut?

Sudah tentu tidak! Anda masih berhak untuk mengambil tindakan terhadap pemilik premis atau operator parkir tersebut. Semata-mata meletakkan terma penafian pada premis tersebut tidak memberikan kelayakan automatik kepada pemilik premis atau operator parkir tersebut untuk terus menafikan liabiliti atau tanggungjawab mereka terhadap anda sebagai pelanggan atau pengguna.

Biarpun secara perundangannya, terma penafian adalah sah di sisi undang-undang dan boleh digunakan dalam mengurangkan liabiliti pemilik atau operator parkir tetapi masih banyak perkara yang perlu diambil kira oleh pemilik premis atau operator parkir terutamanya dari aspek kecuaian dan kewajipan berjaga-jaga (duty of care).

Selain itu, notis mengenai terma penafian itu juga perlu dinyatakan dengan jelas dan mencukupi. Lokasi di mana notis terma penafian tersebut dipaparkan juga adalah amat penting. Ia perlu dipaparkan sebelum sebarang urus niaga berlaku dan bukannya selepas urus niaga berlaku. Dalam konteks parkir ini, notis terma penafian itu perlu dipaparkan pada pintu atau pagar masuk kawasan parkir tersebut dan saiz tulisannya juga haruslah cukup besar untuk dibaca ketika anda dalam kereta.Berbalik kepada isu kecuaian, pihak pemilik atau penyedia sesuatu perkhidmatan atau produk perlu menjalankan tanggungjawabnya dalam memastikan langkah-langkah yang bersesuaian telah diambil dalam mengurangkan sebarang bentuk kecuaian, masalah keselamatan atau kerosakan.

Artikel Berkaitan:

Sudah terdapat beberapa kes di Malaysia yang membicarakan tentang tanggungjawab pemilik premis atau operator parkir apabila berlaku kecurian kereta dalam kawasan parkir jagaan mereka. Mahkamah telah lama menetapkan bahawa operator parkir sebagai pihak yang bertanggungjawab perlu membuktikan bahawa mereka tidak cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Dalam erti kata lain, pihak pemilik premis atau operator parkir perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa mereka sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan kawasan parkir tersebut dijaga rapi termasuk mempunyai liputan kamera litar tertutup (CCTV) serta jumlah pengawal keselamatan yang mencukupi.

Terma penafian ini bukan sahaja terguna pakai dalam aspek perkhidmatan parkir, tetapi dalam pelbagai aspek lain. Contoh lain adalah pengangkutan awam (seperti bas ekspres), pawagam, jual beli dan sebagainya.

Contoh mengenai kawasan parkir yang diberikan dalam rencana ini sekadar untuk memudahkan pemahaman anda mengenai terma penafian ini.Umumnya, jika anda mengalami kerugian di atas perkhidmatan atau produk yang ditawarkan oleh mana-mana peniaga dan peniaga tersebut menggunakan hak mereka di bawah terma penafian, anda perlu tahu bahawa anda sentiasa mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.