11 pelajar tahfiz sertai Program Juruteknik Perantisan Aeroangkasa

Mahfuz (kanan) beramah mesra dengan pelajar tahfiz yang menyertai Program Juruteknik Perantisan Aeroangkasa di ILP tersebut.
Mahfuz (kanan) beramah mesra dengan pelajar tahfiz yang menyertai Program Juruteknik Perantisan Aeroangkasa di ILP tersebut.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seramai 11 pelajar tahfiz mengikuti Program Juruteknik Perantisan Aeroangkasa di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada huffaz menyertai program itu melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Menurutnya, usaha memperkenalkan latihan kemahiran kepada pelajar tahfiz akan terus dipergiatkan yang melibatkan kerjasama ILP itu dengan pihak industri, Composites Technology Research Malaysia (CTRM).

"Mereka yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam pembuatan komposit dan seterusnya diterima bekerja di CTRM," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program TVET Pemacu Pembangunan Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil di sini semalam.

Mahfuz berkata, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam di peringkat negeri bagi membolehkan pihak tersebut mengendalikan pusat tahfiz yang cemerlang dari segi hafalan Quran serta dilengkapi bidang kemahiran.

Sementara itu katanya, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)-Tahfiz mampu membuka peluang lebih besar kepada golongan tahfiz untuk mempelbagaikan ruang kemahiran yang tidak terhad dalam bidang keagamaan sahaja, malah mampu melahirkan golongan teknokrat serta 'huffaz' profesional.

Mahfuz (tengah) bergambar bersama pelajar selepas menyempurnakan program TVET Pemacu Pembangunan Negara di Insititut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil di sini semalam.
Mahfuz (tengah) bergambar bersama pelajar selepas menyempurnakan program TVET Pemacu Pembangunan Negara di Insititut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz berkata, golongan tahfiz bukan hanya memiliki kehebatan, kemampuan dan kelebihan diri bergelar 'huffaz', sebaliknya penglibatan dalam program tersebut mampu meletakkan diri mereka dalam industri semasa.

Menurutnya, persaingan tinggi dalam dunia pekerjaan turut menuntut pembaharuan dalam bidang pengajian tahfiz dan ibu bapa serta pengusaha tahfiz perlu memainkan peranan penting bagi menggalakkan lebih ramai golongan tahfiz mengambil peluang menceburi bidang tersebut.

"Selama ini, mereka hanya mengharap anak-anak menjadi tok iman, ustaz sedangkan kita mahu mereka ada kehidupan dan masa depan lebih cerah, jadi perlu masuk pasaran pekerjaan untuk bersaing dengan orang lain melalui kemahiran.

"Ibu bapa dan pengusaha tahfiz dinasihatkan tidak hanya melihat kepada hafalan Quran yang merupakan satu tuntutan, namun kemahiran juga adalah dituntut dalam keperluan kehidupan dan kedua-dua perlu seiring," katanya.