Kadar tarif air: Kedah belum putuskan pendirian

Mukhriz (tiga, kanan) bersama sebahagian peserta kayuhan Fun Ride sejauh 40km.
Mukhriz (tiga, kanan) bersama sebahagian peserta kayuhan Fun Ride sejauh 40km.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah belum memutuskan pendirian sama ada mengekalkan atau menaikkan kadar tarif air sedia ada susulan kerajaan bercadang melakukan pelarasan pada tahun ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya belum mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun kerajaan negeri akan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak selain mengambil kira kemampuan rakyat Kedah. Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Rabu ini.

“Persekutuan ada hak dan sebab untuk mencadangkan pelarasan kadar tarif air bagi semua negeri. Mungkin untuk negeri tertentu seperti Kedah mereka ada pandangan berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai kayuhan pra pelancaran perlumbaan basikal Fun Ride 40km sempena Red Eagle Tour 2019 di Medan Bandar di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah yang turut serta menyempurnakan kayuhan itu.

Menurutnya, tidak dinafikan, kenaikan tarif air akan berlaku dari semasa ke semasa susulan kos membina dan penyelenggaraan sistem bekalan air adalah tinggi.

“Ia juga bergantung kepada jumlah air yang dibekalkan, ia bukannya kos yang rendah. Namun, pada masa sama kita faham keperluan rakyat terutama di kawasan luar bandar dan B40. Kita tetap prihatin dalam aspek ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz berkata, keputusan muktamad berhubung tarif air di negeri ini akan diumumkan selepas perbincangan dengan pihak terlibat selesai.

“Buat masa ini, kita belum terima sebarang maklumat, perbincangan akan dibuat dengan SPAN dalam tempoh terdekat. Saya juga belum melihat formula yang dicadangkan itu,” katanya.

Mengulas sama ada sebarang kenaikan kadar tarif air di Kedah akan memberi kesan besar terhadap golongan B40, Mukhriz berkata, ia antara aspek yang akan diperhalusi.

“Jika dilaksanakan, kemungkinan melibatkan tarif berbeza untuk golongan tertentu, kita belum pasti pendekatan yang akan diambil. Biarlah kami bincang terlebih dahulu sebelum putuskan ketetapan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bercadang melakukan pelarasan tarif air yang dijangka naik secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan menstrukturkan semula industri perkhidmatan bekalan air negara.

Menterinya, Dr A Xavier Jayakumar berkata, ia juga bagi menjaga kepentingan pengguna mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Setakat ini, Pulau Pinang mengesahkan tarif air dijangka naik sehingga 20 peratus, manakala Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak masih dalam kajian sedangkan Johor dan Sabah pula menegaskan tidak akan menaikkan kadar tarif utiliti tersebut.