Seluruh UK tenggelam

Anggota penyelamat memindahkan penduduk ke pusat kecemasan di Nantgarw berhampiran Cardiff. - FOTO: AGENSI
Anggota penyelamat memindahkan penduduk ke pusat kecemasan di Nantgarw berhampiran Cardiff. - FOTO: AGENSI
A
A
A

LONDON - Komuniti di seluruh United Kingdom (UK) berdepan banjir teruk susulan hujan lebat berterusan yang dibawa Ribut Dennis pada Sabtu lalu.

Lebih 300 amaran banjir masih berkuat kuasa di seluruh negara hari ini termasuk lima amaran tahap teruk yang mengancam nyawa di England.

Semalam, kecemasan utama turut diisytiharkan di selatan Wales dan beberapa bahagian di England selepas beberapa bahagian di UK dilanda angin kencang berkelajuan lebih 145 kilometer sejam.

Langkah itu diumumkan selepas kerajaan memaklumkan ia tidak dapat melindungi kesemua kediaman dan harta benda daripada banjir tersebut.

Setiausaha Alam Sekitar baharu, George Eustice menafikan kerajaan tidak bersiap sedia untuk menghadapi bencana itu yang berlaku seminggu selepas UK dilanda Ribut Ciara.

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa tentang cuaca ekstrem seperti ini, namun pelbagai langkah telah diambil. Ia hanya memberi impak yang kecil kepada kerosakan harta-benda,” jelasnya ketika melawat York untuk membincangkan cara menangani krisis itu.

Eustice turut menyalahkan ‘sifat perubahan iklim’ atas skala kemusnahan yang berlaku.

“Cuaca menjadi semakin ekstrem. Kami telah habiskan banyak wang untuk masalah ini dan bakal ada bencana lain pada masa akan datang,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Kawasan desa Welsh di Crickhowell yang ditenggelami banjir. - FOTO: AGENSI
Kawasan desa Welsh di Crickhowell yang ditenggelami banjir. - FOTO: AGENSI

Sementara itu, Ketua Agensi Alam Sekitar untuk Pengurusan Banjir dan Pesisir, John Curtin memaklumkan sebanyak 634 amaran banjir telah diisytiharkan di England dan lebih 60 dikeluarkan di Wales serta 20 lagi di Scotland.

Impak Dennis turut menyebabkan kebanyakan jalan utama ditutup dan perkhidmatan kereta api serta penerbangan terpaksa dibatalkan.

Kementerian Pertahanan bertindak mengerahkan pasukan tentera untuk membantu penduduk di West Yorkshire yang terjejas teruk akibat banjir selepas dilanda Ribut Ciara pada minggu lalu.

Di York, ribuan beg pasir ditempatkan di sekitar kawasan berhampiran Sungai Ouse di North Yorkshire, England selepas Agensi Alam Sekitar memberi amaran paras sungai tersebut mungkin akan mencecah 5.4 meter di atas tahap normal seperti direkodkan pada November 2000.

Sebuah rakaman video dramatik turut memaparkan kejadian tanah runtuh di kawasan gunung di Tylorstown, Rhondda Cynon Taf, selatan Wales.

Sekitar kawasan Tenbury Wells tenggelam selepas paras Sungai Teme di barat England melimpah. - FOTO: AFP
Sekitar kawasan Tenbury Wells tenggelam selepas paras Sungai Teme di barat England melimpah. - FOTO: AFP

Dalam perkembangan lain, situasi mengancam nyawa dilaporkan di selatan Wales selepas Pejabat Ramalan Cuaca, Met mengeluarkan amaran merah susulan hujan lebat dan risiko banjir yang semakin meningkat.

Ketika ini, perkhidmatan kecemasan dilaporkan sedang bekerjasama dengan agensi tempatan untuk memastikan keselamatan penduduk selain meminimumkan kerosakan dan gangguan akibat banjir tersebut.

Susulan itu, pusat kecemasan telah dibuka untuk menempatkan penduduk yang terjejas banjir.

Ciara yang membawa angin kencang sehingga 156 kilometer sejam pada minggu lalu telah menyebabkan ratusan rumah ditenggelami banjir dan lebih 500,000 penduduk terputus bekalan elektrik.

Dennis turut menjejaskan kawasan barat laut Perancis hingga mencetuskan amaran jingga untuk hujan dan banjir di wilayah Finistere dan Morbihan.

Kira-kira 60,000 penduduk dilaporkan terpaksa bergelap kerana bekalan elektrik terputus.

Selain itu, beberapa negara jiran juga menerima impak Dennis.

“Angin dijangka bertiup kencang di seluruh Jerman, Denmark dan selatan Sweden,” kata ahli meteorologi AccuWeather, Maura Kelly. - Agensi