Beri alasan nak buang air besar elak diperiksa polis

Anggota polis yang mengalami keretakan pada tulang hidung akibat bergelut dengan suspek.
Anggota polis yang mengalami keretakan pada tulang hidung akibat bergelut dengan suspek.
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki bukan sahaja memberi alasan mahu buang air, malah turut menumbuk seorang polis untuk mengelak diperiksa ketika rondaan cegah jenayah di Jalan Assumption di sini.

Tindakan lelaki berusia 42 itu menyebabkan anggota terbabit retak tulang hidung dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta sebelum anggota polis menghampirinya untuk melakukan pemeriksaan.

"Lelaki itu yang menyedari kehadiran anggota polis cuba meloloskan diri dengan memecut kenderaannya sebelum dia berjaya ditahan di Jalan Raja Uda.

"Semasa pemeriksaan ke atasnya dijalankan, suspek bertindak agresif menumbuk muka anggota polis tersebut sehingga mengakibatkan bengkak di bahagian hidung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, berlaku pergelutan menyebabkan suspek juga mengalami kecederaan luka di pipi dan dahi.

"Suspek memaki hamun anggota polis selain cuba merampas kunci keretanya daripada anggota dipercayai untuk melarikan diri sebelum keadaan berjaya dikawal dan suspek berjaya digari serta ditenangkan.

"Pemeriksaan lanjut dan kita menjumpai bungkusan plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi bahan-bahan disyaki dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, suspek sebelum itu dikatakan memberi alasan hendak membuang air besar dan disebabkan itu dia tidak memberikan kerjasama kepada polis untuk jalan pemeriksaan.

"Anggota polis dan suspek dirujuk ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan dan doktor yang merawat mengesahkan terdapat keretakan tulang pada hidung anggota terbabit.

"Hasil hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphethamine dan berdasarkan semakan suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah," katanya.

Katanya, suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.