Bitcoin dikenakan zakat apabila cukup haul, nisab

Mohd Asri dan Yahya
Mohd Asri dan Yahya
A
A
A

KANGAR - Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada Julai lalu telah memutuskan aset digital seperti Bitcoin perlu dikenakan zakat apabila mencukupi haul (jangka masa simpanan) dan nisabnya (kadar diwajibkan).

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Bitcoin dikenakan zakat atas sifatnya iaitu Urudh al-Tijarah (barang dagangan).

"Perlis telah membincangkan isu tersebut sejak tahun lalu.

"Pengiraan zakat untuk Bitcoin ialah nilai terendah unit Bitcoin dalam satu tahun didarabkan dengan bilangan unit Bitcoin dan kemudian tambah dengan keuntungan hasil dagangan sepanjang tahun dan kemudiannya didarabkan 2.5 peratus.

"Pembayaran boleh dilakukan dalam bentuk nilai wang atau unit Bitcoin," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, negeri itu akan mengeluarkan fatwa jika sudah ada ketetapan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan negeri lain.

“Setakat ini Bitcoin dan mata wang Cripto masih dalam kajian Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jakim.

“Apabila ada keputusan bersama antara negeri-negeri nanti, kita akan selaraskan pelaksanaannya,” katanya.

Artikel Berkaitan: