Rokok seludup bernilai RM65.7 juta dirampas di PTP

Paddy (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas.
Paddy (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup tujuh kontena rokok putih bernilai RM65.4 juta dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, rampasan itu merupakan rampasan terbesar hasil maklumat Cawangan Risikan Zon Selatan dan JKDM yang mengesan aktiviti penyeludupan rokok di pelabuhan itu.

Menurutnya, serbuan pertama pada 28 Januari lalu dilakukan ke atas sebuah kontena yang diisytiharkan sebagai perabot kayu dan menunjukkan dagangan itu adalah dagangan pindah kapal dari negara China.

"Kontena terbabit mengandungi beberapa unit perabot dan kotak mengandungi 69,000 karton rokok atau 13.8 juta batang rokok dengan anggaran keseluruhan termasuk cukai bernilai RM10.32 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah di sini hari ini.

Paddy (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas.
Paddy (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas.

Paddy berkata, bagi kes kedua, Cawangan Penguatkuasaan Kastam Johor membuat pemeriksaan ke atas enam kontena yang diisytiharkan sebagai putung rokok pada 3 Februari lalu.

Katanya, dagangan kontena terbabit dihantar dari Vietnam menerusi proses pindah kapal, bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati diisi dengan muatan rokok putih berjenama 'John Player Special' dan 'Richmond Real Blue'.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah rokok putih yang disita adalah sebanyak 62.64 juta batang rokok dengan anggaran keseluruhan termasuk cukai bernilai RM55.12 juta," katanya.

Menurut Paddy, ketujuh-tujuh kontena itu dipercayai telah berada di pelabuhan selama sebulan sebelum pemeriksaan dilakukan.

'Tiada sebarang tangkapan dibuat bagi kedua-dua kes berkenaan dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 52 Akta Kastam 1967," katanya.