Segera gazetkan fatwa agama negeri

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis agama Islam diminta menggazetkan fatwa yang dikeluarkan masing-masing kerana bidang kuasa berkaitan Islam adalah di bawah kuasa negeri.

Ia susulan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang mengiktiraf institusi fatwa dalam kes membabitkan anak tak sah taraf yang mahu dibinkan dengan nama bapa biologi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, walaupun begitu, umat Islam tidak boleh selesa dengan keputusan kes yang menyebelahi undang-undang Islam ketika ini.

"Keputusan ini sekali gus dapat mendiamkan hujah kelompok antisyariah yang mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah institusi sekular yang tidak boleh merujuk kepada hukum syariah dalam pentadbirannya.

"Hal ini kerana kelompok liberal tidak akan berdiam diri dan akan berterusan mencabar kes yang berkait dengan undang-undang syariah di mahkamah sivil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ia terbukti usai penghakiman kes ‘bin Abdullah’ diumumkan, Sisters in Islam (SIS) memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan enakmen negeri Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri untuk mengkaji semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa negeri.

Permohonan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang menolak permohonan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyatakan NGO itu sebagai sesat kerana Mahkamah Syariah Selangor mempunyai kuasa untuk menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

"Tiada jaminan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mungkin bertukar posisi sebagai mana yang terjadi dalam isu penukaran agama anak secara sepihak.

Artikel Berkaitan:

"Dewan Undangan Negeri juga mesti mengambil tindakan proaktif meminda undang-undang bagi menjamin kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar semakan kehakiman dalam kes-kes membabitkan undang-undang syariah bagi negeri-negeri yang masih belum berbuat demikian," katanya.

Justeru katanya, semua pihak perlu konsisten memainkan peranan bagi mengukuhkan kedudukan undang-undang Islam di Malaysia mengikut posisi dan kemampuan masing-masing.