Bapa syak anak hilang dilarikan ke Indonesia

Keat Lin (kiri) menunjukkan gambar anaknya yang hilang dan laporan polis dibuat di Balai Polis Cheras, 13 Februari lalu.
Keat Lin (kiri) menunjukkan gambar anaknya yang hilang dan laporan polis dibuat di Balai Polis Cheras, 13 Februari lalu.
A
A
A

PUCHONG - Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Puchong Permai di sini sejak lebih sebulan lalu disyaki dilarikan seorang lelaki dan kini dipercayai berada di Indonesia.

Bapanya, Chok Keat Lin, 72, berkata, kehilangan anaknya Chok Mei Ling, 13, dari rumahnya di Apartment Puchong Permata disedari kira-kira jam 10 malam, 3 Januari lalu.

Menurutnya, anaknya pernah hilang sebanyak tiga kali sebelum ini namun dapat diselamatkan pihak berkuasa di beberapa lokasi termasuk di Melaka.

Bagaimanapun kali ini, Keat Lin mendakwa anaknya tidak pulang ke rumah dalam tempoh yang lama dan telefon bimbitnya gagal dihubungi.

“Sebelum ini Mei Ling pernah hilang namun dia dijumpai selepas dua hingga tiga hari tidak pulang ke rumah. Kehilangnya dalam tempoh yang lama membimbangkan saya.

“Saya tidak sedap hati kerana dia hilang bersama sebahagian pakaian dan surat kelahirannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Biro Aduan Awam Parti Gerakan Selangor di Taman Kinrara hari ini.

Keat Lin berkata, dia mengesyaki anaknya dilarikan ke Indonesia berikutan gagal menghubungi telefon bimbit anaknya selain mendapati semua akaun media sosial Mei Lin tidak dikemaskini sejak 12 Januari lalu.

Menurutnya, kali terakhir anaknya menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp adalah pada hari dia disedari hilang.

Artikel Berkaitan:

“Mesejnya, ‘ayah saya sekarang ada di Kuala Lumpur’. Selepas itu langsung saya tidak dapat menghubunginya lagi dan tarikh akhir dia membuka WhatsApp adalah pada 12 Januari lalu.

“Saya bimbang dan sedih kerana dia masih lagi anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Saya minta siapa yang pernah ternampak dia supaya segera menghubungi nombor telefon saya di talian 01111288360 atau hubungi pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Parti Gerakan Selangor, Andy Lieng Hwa Ching yang menerima aduan Keat Lin meminta sesiapa yang menemui remaja berkenaan supaya menghubungi bapa remaja itu.

Katanya, kehidupan bapa remaja itu tidak tenteram selagi anaknya tidak ditemui.

“Tolonglah bantu sebarkan berita ini supaya anak dia ditemui semula,” katanya.