Periksa barangan disita: Pendakwaan dapat lanjutan masa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melanjutkan masa bagi melaksanakan perintah mahkamah yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga memeriksa barangan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Tengku Abdul Rahman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk lanjutan masa pemeriksaan dalam tempoh 14 hari.

“Tarikh pemeriksaan yang dimohon pihak pendakwaan sama ada pada 22, 23 atau 29 Februari atau 1 Mac ini adalah munasabah," kata Mohamed Zaini dan menetapkan 23 Mac untuk pengurusan kes.

Peguam Mardhiyah Siraj, yang mewakili Najib, memohon kepada mahkamah untuk pihaknya memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh dua minggu selepas pemeriksaan dilakukan dan mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Pada 3 Februari lalu, Mohamed Zaini memerintahkan pendakwa raya membenarkan bekas perdana menteri itu serta isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta anak mereka Nooryana Najwa memeriksa barang berkenaan secara fizikal yang disimpan di Bank Negara Malaysia (BNM).

Hakim itu antara lain meletakkan syarat bahawa pemeriksaan itu dikendalikan di premis yang ditetapkan oleh pendakwaan dan pemeriksaan hanya dilakukan sekali serta dijalankan dalam tempoh dua minggu dari tarikh perintah dikeluarkan dan tarikh itu tamat hari ini.

Tengku Amir, ketika ditemui pemberita, berkata semasa perbincangan antara BNM dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 7 Februari lalu, pihak BNM telah memaklumkan kebimbangannya tentang pemeriksaan yang akan dilakukan pada 14 Februari yang jatuh pada hari bekerja kerana ia menganggu operasi pengurusan matawang BNM.

"Pemeriksaan harta sitaan pada hari bekerja turut akan mengganggu operasi premis BNM di mana urusan menyediakan tempat bagi pemeriksaan barang sitaan akan melibatkan laluan tempat keluar masuk orang awam yang datang membuat semakan, pertanyaan dan aduan kepada BNM.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, pihak BNM telah mencadangkan kepada pihak PDRM dan AGC agar pemeriksaan tersebut dilakukan pada hari Sabtu (15 Februari) atau Ahad (16 Februari) bagi mengurangkan implikasi gangguan operasi tersebut," katanya.

Beliau berkata pihak AGC telah memaklumkan BNM bahawa Najib dan keluarga serta peguam tidak mempunyai kelapangan untuk melakukan pemeriksaan pada 15 dan 16 Februari itu kerana berada di luar daerah.

Dalam notis usul itu, Najib, 67, memohon kepada pendakwa agar menyedia atau membekalkan gambar berwarna barang berkenaan serta diskripsi terperinci seperti label, simbol, kad hadiah, pakej dan kotak harta alih yang dirampas pada 17 Mei 2018.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 69, dan Nooryana Najwa, 32, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta alih yang disita itu.

Antara barang yang disebut dalam kedua-dua notis itu ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk RM537,000, Pound Sterling 2,700, Sri Lanka Rupee 2,870,000, RM187,750 dalam Ringgit Malaysia wang lama dan Pound Sterling 320,500. - Bernama