Enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dianggap wira

Saifuddin bersama sebahagian daripada 200 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom hari ini.
Saifuddin bersama sebahagian daripada 200 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dianggap sebagai wira atas jasa besar mereka bertugas semasa proses evakuasi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Wuhan, China, bandar yang bermulanya penularan koronavirus (Covid-19) baru-baru ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pengorbanan mereka amat besar ketika semua orang keluar dari Wuhan, tetapi mereka masuk untuk menyelamat dan menguruskan rakyat Malaysia yang terperangkap di sana.

"Mereka (pegawai Kedutaan Besar) bertolak melalui jalan darat ke Wuhan yang mengambil masa selama 17 jam perjalanan. Selepas selamat sampai mereka uruskan evakuasi rakyat Malaysia.

"Bagi saya ini pengorbanan besar. Semua orang keluar dari Wuhan mereka pula masuk. Itu satu kerja mulia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom di sini hari ini.

Saifuddin berkata, kesemua enam pegawai itu sudah berada di negara ini dan masih dikuarantin di hospital selama 14 hari.

Menurutnya, mereka akan diberikan cuti bertugas selepas tamat prosedur kuarantin di hospital.

"Difahamkan, setakat laporan yang saya terima keenam-enamnya sihat. Jika tiada aral melintang, mereka akan keluar wad dalam masa beberapa hari lagi. Selebihnya kita tunggu pengumuman daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Artikel Berkaitan:

"Selepas keluar wad, kita bagi mereka cuti. Urusan-urusan lain akan diumum dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, semua petugas Kedutaan Malaysia di Beijing masih bekerja seperti biasa manakala keluarga dan tanggungan mereka telah dibawa pulang.

"Tiada isu atau masalah kekurangan kakitangan kerana semua bekerja seperti biasa. Namun bagi memastikan kebajikan mereka, kita menghantar bekalan makanan ke semua pejabat-pejabat kita di China.

"Bekalan makanan itu dihantar dari semasa ke semasa menerusi penerbangan komersial.

"Memandangkan kita suruh kakitangan untuk kekal berada di sana maka menjadi tanggungjawab kita untuk hantar makanan kepada mereka," katanya.