Jangan sebar video lama kes buli pelajar: Nie Ching

Nie Ching (depan, tengah) bersama warga sekolah SMK Sulaiman, Temerloh sempena perasmian Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2020 hari ini.
Nie Ching (depan, tengah) bersama warga sekolah SMK Sulaiman, Temerloh sempena perasmian Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2020 hari ini.
A
A
A

BENTONG - Masyarakat diminta tidak menularkan semula klip-klip video lama membabitkan masalah disiplin pelajar sekolah seperti kes buli di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, penularan semula klip video lama memberikan kesan kepada pelajar yang menjadi mangsa dan pelaku yang terlibat berikutan ada sebahagian kes itu telah berjaya diselesaikan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) ada menerima klip-klip video lama yang tiada tarikh dan berlaku pada tahun 2016, 2019 untuk disiasat, malah ada juga video diterima membabitkan pelajar di Indonesia.

"Apabila kita tularkan klip video tersebut, kita sebenarnya menjadikan pelaku video itu sebagai mangsa sedangkan kes tersebut telah diselesaikan dengan baiknya antara murid, ibu bapa dan sekolah.

"Jadi saya ingin meminta orang awam supaya memastikan video yang dihantar adalah kes baharu dan berhati-hati dalam menyebarkan sebarang klip video walaupun saya tahu amat mudah kita nak sebarkan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai terdapat beberapa klip video khususnya kes buli melibatkan pelajar tersebar di laman sosial menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Nie Ching ditemui pemberita pada perasmian Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis tersebut turut diadakan pelancaran Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang diterbitkan dengan kerjasama NUTP.

Sebanyak 75,000 naskhah buku berkenaan akan diedarkan ke seluruh 10,208 buah sekolah, jabatan dan agensi berkaitan di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata, statistik kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar menunjukkan penurunan kepada 1,249 pelajar tahun lalu berbanding 1,719 pelajar pada 2018.

Mengulas mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Nie Ching berkata, segala keputusan akan ditentukan Kabinet menerusi mesyuarat khas, selain mengambil kira semua faktor dan pandangan pelbagai pihak.