Halang tugas Imigresen: Seorang lagi ditahan

Noor Azam (tengah) menyaksikan pelantikan Nik Ezanee (kanan) sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu menggantikan Mohd Zani.
Noor Azam (tengah) menyaksikan pelantikan Nik Ezanee (kanan) sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu menggantikan Mohd Zani.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berkaitan kekecohan yang berlaku di Kuil Subramaniar Swamy, Batu Caves, Gombak, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, penahanan lelaki berusia 38 tahun di sekitar Batu Caves kira-kira jam 9 malam tadi menjadikan jumlah suspek seramai tiga orang.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan menahan lagi individu lain berdasarkan rakaman video berhubung kejadian yang tular itu.

"Polis juga akan menyiasat jika mereka terbabit dalam kumpulan gengster atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.

Mengulas lanjut berhubung kes terbabit, Noor Azam berkata, ketiga-tiga individu itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Terawe mengesahkan penahanan dua lelaki masing-masing berusia 47 dan 56 tahun di sekitar Batu Caves, Selangor bagi membantu siasatan kes terbabit.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 58 saat menunjukkan sekumpulan orang awam membuat provokasi terhadap beberapa anggota penguat kuasa Imigresen tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu didakwa berlaku di tapak perniagaan yang terletak di pekarangan Kuil Subramaniar Swamy ketika 50 anggota Jabatan Imigresen Malaysia Selangor cuba membuat operasi ke atas peniaga haram dari India dan Pakistan.

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi di Batu Caves: Imigresen berundur ada sebab

Muhyiddin beri amaran

Halang tugas Imigresen: Dua lelaki ditahan

Dalam majlis yang sama, Asisten Komisioner Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran), Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya baharu berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Nik Azanee, 42, berbesar hati kerana diberi tanggungjawab dan kepercayaan daripada pucuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya akan teruskan usaha yang dilakukan sebelum ini bagi mengurangkan kadar jenayah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Azam berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Nik Ezanee untuk memimpin dengan cemerlang.

"Tahun lalu, IPD Petaling Jaya mencatatkan 3,117 kes dengan penurunan indeks sebanyak 228 kes iaitu 6.82 peratus. IPD Petaling Jaya juga telah menumpaskan beberapa kumpulan penjenayah seperti samun, larikan kenderaan, pecah rumah serta samun kedai serbaneka," katanya.