KV Keningau ungguli ACeTVET 2019

Dr Habibah (tengah) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan TVET 2019 di Serdang, Selangor malam kelmarin. - FOTO ASRIL ASWANDI
Dr Habibah (tengah) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan TVET 2019 di Serdang, Selangor malam kelmarin. - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A
A

SERDANG - Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah mengungguli Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Teknik dan Vokasional (ACeTVET 2019) apabila berjaya merangkul lima anugerah daripada 16 kategori yang dipertandingkan, sekali gus diangkat menerima Anugerah Kecemerlangan TVET 2019.

Kategori lain yang turut dimenangi oleh KV Keningau ialah Anugerah ACeTVET 2019 Kategori Platinum, Anugerah Ikon Guru, dua Anugerah Inovasi (Individu), Anugerah Inovasi (Institusi) dan Anugerah Amalan Pengurusan Kewangan.

Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diterima menerusi penganjuran anugerah yang pertama kali diadakan itu.

Menurutnya, kemenangan tersebut adalah hasil penglibatan secara aktif warga KV Keningau sama ada pelajar mahupun guru dalam inovasi serta pengantarabangsaan sejak 2016.

“Kami warga KV Keningau berpegang kepada tagline ‘rancang apa yang ingin dibuat, buat apa yang dirancang, buktikan, dokumenkan dan buat penambahbaikan’.

“Kejayaan ini pastinya menjadi pembakar dan penyuntik semangat kepada seluruh warga KV Keningau untuk terus memastikan amalan-amalan baik khususnya penglibatan dalam kajian tindakan dan inovasi diteruskan sepanjang masa, khususnya dalam pembelajaran dan pengurusan,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Sementara itu, penerima Anugerah Ikon Guru, Dr Sirhajwan Idek berkata, warga KV Keningau mempunyai rekod penyertaan dan kemenangan pada pertandingan inovasi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan Ketua Kajian dan Inovasi KV Keningau berkata, sebagai tenaga pengarah, beliau akan berusaha mencari peluang untuk membawa inovasi mereka ke platform tempatan dan antarabangsa.

“Kami mahu kembangkan potensi pelajar-pelajar TVET. Mereka sering dilabel sebagai pelajar yang lemah, jadi kami berusaha untuk membuktikan kebolehan mereka yang mungkin bukan dari segi pembelajaran tetapi dari segi inovasi,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Habibah berkata, pemain industri di Malaysia perlu bergiat aktif bekerjasama dengan pihak Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik bagi menyokong pertandingan kemahiran yang dianjurkan khususnya pada peringkat antarabangsa.

Menurutnya, dengan sumbangan kepakaran pemain industri, ia dapat membantu pembangunan latihan kepada peserta-peserta yang akan mewakili negara.