Kanak-kanak dilarikan perompak ditemui selamat

Kanak-kanak yang ditemui selamat selepas dilarikan perompak bersama kereta ibunya.
Kanak-kanak yang ditemui selamat selepas dilarikan perompak bersama kereta ibunya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun yang hilang bersama kereta jenis Proton Exora yang dilarikan dalam kejadian rompakan di cabang Kampung Kemubu pagi tadi ditemui selamat.

Kanak-kanak terbabit ditemui di belakang Pasaraya Ekon Jaya Kok Lanas di sini pada jam 10 pagi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, suspek meninggalkan kanak-kanak itu kepada seorang peniaga gerai yang kemudiannya menghubungi polis.

“Suspek memberitahu bahawa ibunya akan mengambil kanak-kanak itu sebelum melarikan diri bersama kereta Proton Exora yang dirompak itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi tadi, mangsa dilarikan perompak bersama sebuah Proton Exora ketika ibu kanak-kanak itu memberhentikan kereta terbabit di tepi jalan untuk membeli sarapan.

Ketika itu, anak lelakinya yang beruniform Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) berada di dalam kereta berkenaan.

Abdullah berkata, semasa wanita berusia 40-an itu ke warung berdekatan untuk membeli makanan, secara tiba-tiba seorang lelaki masuk ke tempat pemandu dan terus memecut kereta itu ke arah Tendong, Kota Bharu.

“Ketika itu, enjin kereta dalam keadaan hidup dan anak lelaki mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan dilarikan bersama-sama kereta terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Suspek memakai kopiah dan berbaju kuning melarikan Proton Exora berwarna keemasan bernombor pendaftaran DCK 9460,” katanya.

Beliau berkata, polis melancarkan gerakan mencari dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera menghubungi polis.