Patriot gesa polis pantau ucapan berbaur kebencian

Datuk Mohamed Arshad Raji
A
A

KUALA LUMPUR – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dengan teliti semua ucapan atau pesanan tular berbaur kebencian oleh kumpulan yang ingin mencetuskan kekacauan.

Presidennya, Brig-Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata tindakan segera perlu diambil bagi membendung masalah berkenaan sebelum keadaan menjadi di luar kawalan khusus berhubung bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau berkata ucapan yang tidak bertanggungjawab dan bersifat mengapi-apikan, laporan berita mengenai rancangan perhimpunan membantah ICERD pada 8 Disember ini dan pesanan memprovokasi kebencian yang sebar dalam media sosial sejak dua minggu, lalu amat membimbangkan.

“Patriot amat bimbang bahawa protes anti-ICERD telah digunakan sebagai platform untuk kemungkinan mencetuskan rusuhan dan hura-hara di beberapa kawasan dalam negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kehangatan protes anti-ICERD semakin meningkat walaupun Perdana Menteri sudah memaklumkan Malaysia tidak akan meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

“Serangan bersepadu terhadap pemimpin DAP dan 'bangsa’ DAP, tuduhan Timbalan Menteri Pertahanan sebagai pengintip DAP, tuduhan Menteri Kewangan mengalihkan dana pelajar Melayu kepada tokong Cina.

“Laporan yang tidak disahkan mengenai pengedaran Bible di Pulau Pinang dan Kedah dan ancaman menghasut rusuhan kaum dilihat mempunyai hubung kait dan bukan insiden terpencil,” katanya.

Mohamad Arshad, yang dilantik kerajaan sebagai anggota Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC), berkata walaupun dalam era Malaysia Baharu, ada hak dan batasan terhadap kebebasan bersuara. - Bernama