Tiada kes positif Covid-19 di Hospital Miri

Hospital Miri
Hospital Miri
A
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini menegaskan tiada kes disahkan positif jangkitan koronavirus (Covid-19) di Hospital Miri, utara negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing berkata, sehingga semalam hospital itu menerima 16 kes pesakit dalam siasatan (PUI) melibatkan 14 warga Malaysia dan masing-masing seorang rakyat China dan Kanada.

“Bagaimanapun, 14 kes PUI didapati negatif Covid-19 manakala dua lagi masih menunggu keputusan. Seramai 10 kes PUI telah dibenarkan pulang setelah didapati sihat dan ujian makmal kali kedua (ke atas mereka) juga didapati negatif,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti mengamalkan adab batuk yang baik dan memastikan kebersihan diri sentiasa dijaga sepanjang masa.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga mengingatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya demam atau mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan ke China,” katanya.

Semua pengamal perubatan juga dikehendaki melaporkan kes-kes disyaki Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan berdekatan atau terus kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis jabatan itu di talian 082-443248 atau e-mel cprc_sarawak@moh.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: