'Terlalu awal untuk peralihan kuasa'

Proses peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Dr Mahathir dan Anwar masih menjadi polemik perdebatan tidak berkesudahan bukan sahaja kalangan pemimpin politik, bahkan rakyat.
Proses peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Dr Mahathir dan Anwar masih menjadi polemik perdebatan tidak berkesudahan bukan sahaja kalangan pemimpin politik, bahkan rakyat.
A
A
A

PADA hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada 22 Jun 2002, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri keempat ketika itu menggemparkan dunia apabila mengumumkan hasrat beliau meletakkan semua jawatan dalam pentadbiran negara dan parti.

Hasrat itu dikemukakan dalam ucapan penggulungannya yang disiarkan secara langsung ke seluruh Malaysia dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dinamakan sebagai pengganti.

Meskipun majoriti kepimpinan negara ketika itu tidak percaya dan bersetuju dengan keputusan Dr Mahathir, beliau tetap berkeras meneruskan hasrat itu dengan proses peralihan kuasa akhirnya berlangsung lancar pada 31 Oktober 2003.

Dalam sejarah pascamerdeka, proses peralihan kuasa Perdana Menteri bukan perkara asing dalam landskap politik tanah air dengan penyerahan kuasa Dr Mahathir kepada Abdullah itu merupakan kali keempat.

Berdasarkan catatan buku Abdullah Ahmad Badawi: Perjalanan Politik PM ke-5 tulisan Chamil Wariya, pertukaran kuasa Perdana Menteri pertama berlaku pada 22 September 1970 apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussien.

Peralihan kuasa kedua pula berlaku pada 15 Januari 1976 berikutan kematian Abdul Razak kerana penyakit leukemia, manakala peralihan ketiga terjadi pada 16 Julai 1981 apabila Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn menyerahkan kuasa kepada Dr Mahathir juga atas faktor kesihatan.

Tidak seperti negara membangun lain, sejarah membuktikan proses peralihan kuasa Perdana Menteri di Malaysia dijalankan secara teratur dan licin.

Namun, kebelakangan ini isu polemik peralihan kuasa di antara Dr Mahathir dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampak semakin panas dan tidak berkesudahan.

Artikel Berkaitan:

Polemik itu timbul susulan terdapat tuntutan janji penyerahan kuasa Perdana Menteri di antara dua pemimpin itu selepas tempoh dua tahun pentadbiran kerajaan PH yang mencatatkan kemenangan mengejut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dari tangan Barisan Nasional (BN) direalisasikan segera.

Kestabilan

Namun, adakah Malaysia mampu memastikan proses peralihan kuasa Perdana Menteri kelima di antara Dr Mahathir dan Anwar akan berlangsung aman dan teratur tanpa menjejaskan kestabilan politik tanah air?

Selain itu, rakyat mempersoalkan kesesuaian pelaksanaan proses peralihan kuasa Perdana Menteri ketika ini susulan status peralihan itu dijangka diputuskan dalam mesyuarat majlis Presiden PH pada 21 Februari ini.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff, pihaknya tidak begitu bersetuju sekiranya proses peralihan kuasa PM dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Dr Syed Agil
Dr Syed Agil

Menurutnya, kerajaan sekarang bukan memerlukan agenda politicking tidak berkesudahan, sebaliknya mencari mekanisme penyelesaian terbaik mengatasi cabaran kemelesetan ekonomi, ketidakstabilan politik dan masalah kesihatan terutama wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara kini.

"Sekiranya proses peralihan kuasa dibuat dalam masa terdekat seperti bulan Mei ini, rakyat akan menjadi mangsa kerana negara terus berdepan masalah politicking tidak berkesudahan ditambah kerajaan PH gagal menjayakan agenda pentadbiran yang telah diperkenalkan kepada rakyat.

"Dalam konteks peralihan kuasa Perdana Menteri, terdapat beberapa opsyen boleh dipertimbangkan iaitu membiarkan kerajaan dipimpin Dr Mahathir sehingga habis penggal atau Majlis Presiden PH perlu membuat ketetapan tarikh peralihan kuasa tanpa mengambil kira kepentingan politik pihak tertentu," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dr Syed Agil berpendapat cadangan peralihan kuasa Perdana Menteri pada akhir tahun ini juga tidak begitu membawa manfaat kepada usaha pemulihan ekonomi dan kestabilan politik negara.

Menurutnya, kepimpinan kerajaan PH perlu memberi ruang kepada Dr Mahathir menyempurnakan agenda pentadbiran kerajaan direncanakannya kerana masih banyak strategi hendak dilaksanakan Pengerusi PH itu bagi menambah baik Malaysia.

"Saya tidak nampak proses peralihan kuasa berlaku selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020).

"Bagaimanapun, kita dapati banyak konflik dalaman PH dan politiking menyelubungi negara seperti isu penubuhan kerajaan Pakatan Nasional dan dakwaan tandatangan akaun bersumpah (SD) ahli Parlimen menyokong Dr Mahathir kekal PM sehingga tamat penggal.

"Perkara itu boleh diambil kira untuk mempengaruhi faktor peralihan kuasa dan tidak mustahil spekulasi itu mempengaruhi keputusan Majlis Presiden PH untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa melalui satu mesyuarat pada 21 Februari ini," katanya.

Sentimen sama turut disokong penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohammad Fuad Othman yang meminta semua pihak termasuk Majlis Presiden PH supaya tidak ragu-ragu dengan kesungguhan Dr Mahathir menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Anwar.

Dr Muhammad Fuad
Dr Muhammad Fuad

Menurutnya, Dr Mahathir harus diberi masa secukupnya oleh kepimpinan PH dan rakyat untuk melunaskan kerja-kerja pemulihan sosioekonomi negara yang belum beres dengan tarikh peralihan kuasa paling sesuai dilaksanakan selepas persidangan APEC 2020 pada November ini.

"Mengapa selepas APEC? Ia kerana persidangan APEC adalah suatu persidangan penting kepada negara dan Dr Mahathir sendiri bagi membolehkan beliau menyampaikan agenda kerjasama ekonomi serantau di samping mempromosi kemampuan negara dalam menentukan strategi ekonomi mampan pada masa hadapan.

"Saya yakin Majlis Presiden PH masih mempunyai rasa hormat cukup tinggi kepada Dr Mahathir. Lagipun Anwar sendiri memberitahu beliau tidak bermasalah menunggu sedikit masa lagi bagi mengambil alih jawatan PM," katanya.

Mohammad Fuad turut menekankan Dr Mahathir berulang kali menyatakan beliau akan menunaikan janji penyerahan kuasa Perdana Menteri dan mengakui dirinya sudah tua.

Menurutnya, dakwaan Dr Mahathir menerima sokongan 138 ahli Parlimen termasuk 26 ahli PKR yang sudah menandatangani satu SD juga perlu dilihat dari sudut positif dan menunjukkan kepimpinan beliau disenangi kawan dan lawan politik.

"Dr Mahathir berkali-kali cakap hendak tunai janji (serah jawatan PM), jadi desakan beliau menyerahkan jawatan segera perlu dihentikan serta-merta.

"Jangan panjangkan lagi polemik kerana orang yang hendak undur, tetapi kalau asyik didesak segera undur lama-lama dia akan marah," katanya.

Persidangan APEC 2020 di Kuala Lumpur dijangka menjadi pentas terakhir Dr Mahathir mewakili negara sebagai Perdana Menteri sebelum dijangka menyerahkan jawatan itu kepada Anwar kelak.
Persidangan APEC 2020 di Kuala Lumpur dijangka menjadi pentas terakhir Dr Mahathir mewakili negara sebagai Perdana Menteri sebelum dijangka menyerahkan jawatan itu kepada Anwar kelak.

Masa depan negara

Isu polemik peralihan kuasa Perdana Menteri ini sebenarnya dilihat lebih banyak memberi impak negatif daripada positif terhadap masa hadapan politik dan ekonomi negara.

Sekiranya agenda kepentingan nasional diutamakan dan semua pihak akan berganding bahu untuk merealisasikan agenda reformasi negara, mungkin kerajaan PH akan lebih banyak menyelesaikan janji manifesto pilihan raya dikemukakan mereka pada PRU14.

Kalau tiba musim Piala Dunia, peminat bola akan mengalami demam 'makan bola, tidur bola'. Kini sentimen sama boleh diungkapkan terhadap rakyat negara yang kini asyik memperkatakan perkara politik tanpa mengira peringkat umur.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan politicking tidak berkesudahan dengan pelbagai isu utama mendepani rakyat negara ini seperti peluang pekerjaan terhad, kos sara hidup tinggi dan masalah gejala sosial semakin meningkat semakin dipandang sepi daripada perhatian golongan pemimpin.

Kepada pihak pimpinan kerajaan PH, sudah tiba masanya anda membuktikan kemampuan sebagai kerajaan alternatif terbaik rakyat dan benar-benar efisien dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini.