Bekas pelukis pelan buta selepas serangan strok kedua

Nooraimey (kanan) menunjukkan mata Zulkifli yang tidak memberikan tindak balas kepada cahaya.
Nooraimey (kanan) menunjukkan mata Zulkifli yang tidak memberikan tindak balas kepada cahaya.
A
A
A

POKOK SENA - Seorang bekas pelukis pelan hilang nikmat melihat selepas mengalami serangan strok kedua hingga menyebabkan gangguan saraf matanya pada penghujung tahun lalu.

Zulkifli Abd Hamid, 42, kini bergantung penuh kepada isterinya, Nooraimey Othman, 41, untuk mendapatkan rawatan bertemu pakar otak dan mata di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar sejak tiga bulan lalu.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, penglihatannya tidak jelas sejak hujung tahun lalu selepas beberapa bulan melihat semua benda seperti baju dan selipar dalam keadaan terbalik.

"Saya berada di majlis kenduri jiran ketika penglihatan saya tiba-tiba semakin gelap dan setiap objek yang dilihat semakin tidak jelas.

"Kemudian doktor pakar yang merawat saya minta saya bersedia lebih awal untuk belajar menggunakan tongkat serta menyesuaikan diri sementara masih dapat lihat objek walaupun sudah tidak nampak dengan jelas," katanya.

Dia berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Taman Pertama di sini semalam.

Menurutnya, serangan strok otak kali pertama pada 2016 menyebabkan pertuturannya terganggu dan sembuh selepas empat bulan, namun selepas diserang strok kedua, doktor pakar mengesahkan peluang untuknya sembuh adalah 50-50.

"Saya kerja sebagai pelukis pelan selama 15 tahun di Kuala Lumpur tapi balik ke kampung pada 2012 untuk jaga ibu dan saya sara keluarga dengan menjual nasi lauk ayam sambal di pasar malam Pokok Sena dan Padang Terap.

Artikel Berkaitan:

"Selepas saya sakit tugas sebagai ketua keluarga untuk mencari rezeki digalas pula oleh isterinya, namun pendapatan hasil berniaga pada Isnin, Khamis, Jumaat dan Sabtu di pasar malam itu cuma bawah RM1,000 setiap bulan," katanya.

Rukiza (kiri) menyampaikan sumbangan daripada SCB kepada Zulkifli yang tidak mampu lagi untuk bekerja.
Rukiza (kiri) menyampaikan sumbangan daripada SCB kepada Zulkifli yang tidak mampu lagi untuk bekerja.

Nooraimey berkata, suaminya dalam proses memohon kad orang kurang upaya (OKU) kerana sudah tidak mampu bekerja lagi, malah nasib mereka juga turut mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) selain wakil Ahli Parlimen Pokok Sena.

"Memang tidak cukup pendapatan sebanyak itu sebab kami perlu bayar sewa rumah RM350 sebulan selain bayaran yuran anak sulung, Mohd Zulhamizi yang berusia 15 tahun sebanyak RM250 sebulan di Maahad Darul Furqan, Kubor Panjang, Pendang.

"Tunggakan sewa rumah pun ada, mujur tuan rumah memahami. Bayaran yuran pengajian anak pun selalu lambat dan sekarang saya perlu peruntuk kos untuk bawa suami ke hospital pada tarikh ditetapkan doktor pakar," katanya.

Menurutnya, anak bongsu mereka, Mohd Zulhafizi, 7, yang mengambil pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Pokok Sena ialah seorang autism juga dalam proses memohon kad OKU.

"Kami sedang berusaha mendapatkan bantuan rumah jika ada kerana tidak mampu untuk beli rumah sendiri. Selain itu, saya juga mohon bantuan daripada mana-mana agensi untuk bantu mendapatkan 'food truck' supaya kami boleh berniaga di mana-mana lokasi untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.

Terdahulu, kisah mereka anak beranak itu mendapat perhatian Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB), Rukiza Abu Bakar yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan serta wang tunai.

Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban Zulkifli sekeluarga, boleh hubungi Nooraimey di talian 010-4659424 atau menyalurkan bantuan di Bank Simpanan Nasional 0213029000155331 atas nama Nooraimey Othman.