Pesawat pejuang Saudi terhempas atau ditembak jatuh?

Gambar disiarkan oleh stesen TV al-Masirah menunjukkan detik ketika pemberontak Houthi menembak jatuh pesawat pejuang Tornado milik Arab Saudi di ruang udara wilayah al-Jawf di Yemen pada Jumaat lalu. - Foto Agensi
Gambar disiarkan oleh stesen TV al-Masirah menunjukkan detik ketika pemberontak Houthi menembak jatuh pesawat pejuang Tornado milik Arab Saudi di ruang udara wilayah al-Jawf di Yemen pada Jumaat lalu. - Foto Agensi
A
A
A

RIYADH - Sebuah pesawat pejuang milik Arab Saudi dilaporkan terhempas di negara bergolak Yaman, menurut jurucakap tentera gabungan Arab semalam.

Insiden melibatkan jet pejuang Tornado itu berlaku di wilayah al-Jawf terletak bersempadan Riyadh ketika ia menyertai operasi sokongan pada Jumaat lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan Saudi Press Agency bagaimanapun tidak menyatakan nasib kru atau punca nahas tersebut.

Sementara itu, pemberontak Houthi dalam satu kenyataan mengaku telah menembak jatuh pesawat pejuang terbabit.

Ia turut mengeluarkan rakaman menunjukkan pelancaran peluru berpandu ke permukaan udara ketika insiden jet pejuang Tornado itu ditembak jatuh.

“Kejayaan kami menembak jatuh pesawat Tornado di ruang udara al-Jawf merupakan satu tamparan besar kepada musuh dan menunjukkan keupayaan luar biasa pertahanan udara Houthi,” kata jurucakap kumpulan itu, Mohammaed Abdelsalam menerusi Twitter.

Susulan insiden tersebut, stesen TV al-Masirah melaporkan serangan balas dilancarkan di kawasan dikuasai Houthi ketika penduduk setempat berkumpul berhampiran lokasi bangkai jet pejuang Tornado itu ditemui.

Sekurang-kurangnya 31 orang awam terbunuh manakala kira-kira 12 yang lain cedera dalam serangan di kawasan al-Hayjah di al-Jawf tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: