Penunggang maut rempuh kereta di lorong kecemasan

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI BUAYA - Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang kereta yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 430.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah Selatan, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Nun Arimanshah Zainun, 51, yang menunggal motosikal jenis Yamaha FZ150 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kereta Produa Axia dipandu lelaki berusia 27 tahun dalam perjalanan dari Mualim menuju ke Subang Perdana.

"Sampai di lokasi kejadian, kereta tersebut mengalami kerosakan pada tayar hadapan dan pemandu memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan. Sementara menunggu bantuan sampai, pemandu kereta memasang segi tiga keselamatan sejauh 3 meter dari belakang kenderaan.

“Tiba-tiba motosikal terbabit dari arah belakang melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta Axia itu. Penunggang yang beralamat di Jalan Kembojasari, Bandar Sungai Buaya meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya.

Bak Phai berkata, pemandu Axia berasal dari Kampung Sungai Gumut, Kalumpang pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: