Kesedar terima RM106 juta, empat projek baharu pembangunan

Sazmi bersama penjawat Kesedar di Majlis Amanat Tahun Baru 2020 di Dewan Komuniti Kesedar.
Sazmi bersama penjawat Kesedar di Majlis Amanat Tahun Baru 2020 di Dewan Komuniti Kesedar.
A
A
A

GUA MUSANG - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menerima peruntukan sejumlah RM106.7 juta bagi pelaksanaan pembangunan dalam tahun 2020.

Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, peruntukan itu merangkumi RM56.4 juta untuk pembangunan dan RM50.3 juta untuk mengurus.

Menurutnya, meskipun berlaku pengurangan kelulusan peruntukan sebanyak 7.56 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM127.6 juta, namun Kesedar diberi mandat melaksanakan empat projek baharu pembangunan untuk tahun ini.

"Projek berkenaan adalah eko pelancongan, medan selera dan niaga, agrotek dan kotej bersepadu yang menjadi permulaan Kesedar merangka program lebih baik dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12).

"Tahun ini merupakan tahun akhir RMK11 dan tumpuan bukan sahaja untuk menyelesaikan pembangunan infrastruktur di luar bandar tetapi turut menumpukan pembangunan sosio-ekonomi penduduk luar bandar agar jurang pendapatan dapat dikurangkan.

"Kesedar akan mewujudkan projek yang mempunyai kesan ekonomi berganda seperti pembangunan rural tourism yang bukan sahaja memberi faedah kepada pengusaha malah menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Tahun Baru Kesedar 2020 di Dewan Komuniti Kesedar hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kesedar, Dr Aminuddin Yaakob, Pengurus Besar, Iskandar Zulkarnain Ibrahim dan Ketua Srikandi Bersatu Kelantan, Zaleha Che Kob.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seramai 67 penjawat baharu Kesedar turut dirai dalam majlis berkenaan serta lima kakitangan dipilih menerima Anugerah Khas Pengerusi.