X

Kindly register in order to view this article
!

Bidaan plat eksklusif UUM sudah dibuka

Ahmad Bashawir pada pelancaran plat eksklusif UUM di Dewan Mu’adzam Shah di sini hari ini.
A
A

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) membuka bidaan plat eksklusif UUM mulai hari ini sempena Sambutan Hari Pengasasan UUM Ke-36.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, orang ramai boleh membuat bidaan secara dalam talian mulai hari ini bermula jam 4.16 petang hingga jam 4.16 petang pada 1 Mac ini.

"UUM menjadi universiti awam ketiga yang membuka pelawaan bidaan nombor pendaftaran khas tersebut yang boleh dibuat di laman web https://uumplate.uum.edu.my sepanjang tempoh tersebut.

“Matlamat inisiatif ini adalah untuk memberi peluang kepada staf UUM, alumni, komuniti dan orang awam dalam menzahirkan kebersamaan dengan universiti yang dicintai ini di samping menjana pendapatan universiti,” katanya pada Sambutan Hari Pengasasan UUM dan Perhimpunan Bulanan Staf di Dewan Mu’adzam Shah, di sini hari ini.

Menurutnya, UUM mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk nombor pendaftaran khas UUM 1 hingga UUM 9999 pada 2 Disember 2019.

"UUM juga akan menguruskan penjualannya secara bidaan dalam talian sepanjang tempoh yang diluluskan JPJ.

" Bagi tujuan bidaan, setiap pembida perlu mendaftar dan boleh merujuk panduan untuk membida yang disediakan," katanya.

Ahmad Bashawir menyempurnakan gimik pelancaran plat eksklusif UUM di Dewan Mu’adzam Shah hari ini.
Ahmad Bashawir menyempurnakan gimik pelancaran plat eksklusif UUM di Dewan Mu’adzam Shah hari ini.

Katanya, secara umumnya terdapat lima kategori nombor pendaftaran dengan nilai minimum bidaan yang berbeza mengikut kategori iaitu Utama, Menarik, Popular, Popular (UUM) dan Biasa dari serendah RM500 sahaja.

"Universiti turut menawarkan beberapa insentif menarik kepada pembida yang berjaya.

"Antaranya yuran masuk keahlian percuma Kelab Golf dan Rekreasi UUM bernilai sehingga RM5,000 kepada pembida yang berjaya dengan nilai bidaan RM20,000 dan ke atas serta yuran keahlian seumur hidup percuma Persatuan Alumni UUM kepada alumni yang berjaya dengan nilai bidaan minimum RM1,000 untuk mana-mana kategori,"katanya.

Ahmad Bashawir berkata, hasil pendapatan itu akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan universiti.

" Saya harap alumni UUM juga tidak melepaskan peluang memiliki nombor pendaftaran khas ‘UUM’ ini dan seterusnya menjadi sebahagian daripada penyumbang universiti,"katanya.