'Bird Box Challenge' jadi punca kemalangan

Remaja perempuan berusia 17 tahun dari Layton, yang menyahut cabaran 'Bird Box Challenge' terlibat dalam kemalangan. - Foto Twitter@laytonpolice
Remaja perempuan berusia 17 tahun dari Layton, yang menyahut cabaran 'Bird Box Challenge' terlibat dalam kemalangan. - Foto Twitter@laytonpolice
A
A
A

UTAH - AMERIKA SYARIKAT. Diilhamkan daripada sebuah filem seram lakonan Sandra Bullock yang disiarkan menerusi Netflix, 'Bird Box Challenge' kini menjadi cabaran terbaharu yang popular di serata dunia.

Dalam filem tersebut, Bullock memainkan watak ibu beranak dua yang sentiasa menutup mata bagi mengelak melihat kuasa misteri yang menyeru manusia untuk membunuh diri.

Dalam keadaan menutup mata, dia harus mengharungi pelbagai cabaran demi membawa dua anaknya (Boy dan Girl) ke tempat selamat.

Bermula dari situ, maka tercetuslah #BirdBoxChallenge yang mencabar peminat melakukan sesuatu pekerjaan atau aktiviti dalam keadaan menutup mata.

Walaupun pihak Netflix sendiri telah memberi amaran agar peminat tidak melakukan cabaran tersebut berikutan risiko ditimpa kemalangan, namun masih ramai yang tidak mengendahkannya.

Terbaharu, pihak polis di Utah, Amerika Syarikat memberi amaran kepada penduduk agar tidak memandu dalam keadaan menutup mata semata-mata kerana mahu melakukan 'Bird Box Challenge'.

Amaran dikeluarkan selepas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari Layton, memandu kenderaannya dalam keadaan menutup mata kerana menyahut cabaran 'Bird Box Challenge' dan akhirnya terlibat dalam kemalangan.

"Perbuatan merbahaya seperti ini tidak boleh diterima, ia bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain," tegas Leftenan Travis Lyman,dari Jabatan Polis Layton sambil menambah pemandu tersebut dan kesemua penumpang bernasib baik kerana terselamat. - BBC

Artikel Berkaitan: