757 kes penipuan di Terengganu tahun lalu

Roslee (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua JSJK Terengganu daripada Ketua JSJK Terengganu, Superintendan Mohd Rawi Ab Ghani (kiri) kepada Timbalannya Deputi Superintendan Hamdan Zali (kanan).
Roslee (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua JSJK Terengganu daripada Ketua JSJK Terengganu, Superintendan Mohd Rawi Ab Ghani (kiri) kepada Timbalannya Deputi Superintendan Hamdan Zali (kanan).
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Sebanyak 757 kes penipuan membabitkan kerugian lebih RM22 juta direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, daripada jumlah kerugian dicatatkan, kes penipuan mendominasi jumlah keseluruhan kerugian iaitu sebanyak lebih RM17 juta daripada 688 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

"Ia diikuti kes pecah amanah jenayah yang merekodkan kerugian lebih RM2 juta, bagaimanapun mencatatkan penurunan sebanyak lebih RM5 juta berbanding tempoh sama tahun sebelum itu.

"Seterusnya kes pemalsuan (RM1 juta), jenayah siber (RM940,767.35), pinjaman wang tidak wujud (ah long) yang merekodkan kerugian RM131,050 dan jenayah wang palsu (RM800)," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua JSJK Terengganu di Dewan Redang Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Roslee berkata, walaupun berlaku peningkatan 179 kes atau 22.49 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelum itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 30 peratus kes daripada jumlah itu sepanjang tahun lalu.

"Sebanyak 38.07 peratus berjaya diselesaikan daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka dan ini menunjukkan kadar penyelesaian yang baik.

"InshaAllah, pada tahun ini, dengan kepimpinan baharu yang diketuai oleh saya sendiri, kami akan cuba mempertingkatkan lagi jumlah kes penyelesaian dengan menyediakan banyak latihan kepada semua pegawai siasat bertugas," katanya.

Pada masa sama, Roslee menasihatkan kepada orang ramai agar jangan sesekali melayan panggilan daripada nombor tidak dikenali atau e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mencurigakan selain sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat berkaitan penipuan tersebut.

Artikel Berkaitan: