Tidak pakai topi keledar paling ramai kena saman

Antara penungang motosikal yang diperiksa dalam operasi itu.
Antara penungang motosikal yang diperiksa dalam operasi itu.
A
A
A

BANTING - Polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mengeluarkan 89 saman ke atas penunggang motosikal membabitkan pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu di Bandar Saujana Putra di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, kesalahan tidak menggunakan topi keledar mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 47 saman selain tidak mempunyai lesen (15), nombor pendaftaran (5), ubah suai ekzos (1) dan tidak mematuhi lampu isyarat (1).

"Memandu tanpa lesen antara enam kesalahan utama selain tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat serta memotong di garisan berkembar.

"Kesemua kes akan dirujuk ke mahkamah kerana kesalahan ini bukan sahaja membahayakan diri sebaliknya kepada pemandu lain.

"Sebanyak 89 motosikal diperiksa termasuk jenis Yamaha Lagenda dan Yamaha LC selain pemeriksaan ke atas 102 individu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Azizan memberitahu, ketika operasi ada penunggang yang merayu memberi alasan mahu ke rumah rakan kononnya mengelak daripada dikenakan saman gara-gara tidak memiliki lesen memandu.

"Bagaimanapun, kita tetap bertegas dan mengenakan saman ke atas mereka yang tidak mematuhi peraturan," katanya.

Operasi lima jam yang bermula kira-kira 9 malam itu dilakukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuala Langat.

Artikel Berkaitan: