Laporan palsu Covid-19 berkurangan

Eddin (dua dari kanan) mengedarkan risalah pada Program Info On Wheels (IOW) bersama Jabatan Penerangan Terengganu di Pasar Awam Binjai Rendah di sini hari ini.
Eddin (dua dari kanan) mengedarkan risalah pada Program Info On Wheels (IOW) bersama Jabatan Penerangan Terengganu di Pasar Awam Binjai Rendah di sini hari ini.
A
A
A

MARANG - Laporan dan kenyataan palsu berkaitan wabak koronavirus (Covid-19) semakin berkurangan susulan tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa terhadap individu yang terlibat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, setelah beberapa siri amaran diberikan dan pendakwaan dilakukan, rakyat kian sedar akan kesan dan akibatnya.

Menurutnya, ia satu perkembangan positif dan mengharapkan tindakan yang dilakukan itu membuatkan rakyat sedar bahaya menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

"Setakat ini saya dimaklumkan 12 kes yang telah didakwa, yang kebanyakannya di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian) dan Seksyen 203(A) Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat) serta banyak kertas siasatan yang telah dibuka.

"Apa yang penting adalah rakyat perlu diberi kefahaman yang tepat mengenai wabak Covid-19 bagi mengelakkan berlakunya salah faham dan kebimbangan.

"Semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan dan Jabatan Kesihatan diminta turun padang dalam memberi penjelasan kepada rakyat bagi mengelakkan kebimbangan tidak terkawal sehingga menyebabkan kerancakan ekonomi negara terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan Program Info On Wheels (IOW) bersama Jabatan Penerangan Terengganu di Pasar Awam Binjai Rendah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Azahar Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Mohd Nasrul Hakim Mohd Noh.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 2,028 program IOW telah berjalan di seluruh negara dan dijalankan di 4,162 lokasi.

"Program ini tidak akan terhenti di sini sahaja kerana selepas IOW, Jabatan Penerangan akan meneruskan siri kempen turun padang melalui kewujudan Komuniti Harapan Malaysia.

"Di Terengganu terdapat 72 Komuniti Harapan Malaysia yang boleh memainkan peranan secara efektif dalam menyampaikan, menerangkan dasar dan misi kerajaan kepada rakyat," katanya.