Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes provokasi di Batu Caves

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes sekumpulan lelaki melakukan provokasi ketika penguat kuasa imigresen melaksanakan tugas di Batu Caves pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki pertama yang berusia 47 tahun ditahan di Batu Caves pada jam 7 malam semalam dan seorang lagi berusia 56 tahun ditahan pada jam 12.30 malam tadi di lokasi sama.

"Kedua-dua lelaki ini direman tiga hari bagi membantu siasatan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, polis telah menerima tiga laporan berhubung kejadian itu yang mana dua dibuat oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan satu lagi oleh peniaga di Batu Caves.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam, Jumaat lalu, seramai 80 anggota dan pegawai imigresen menjalankan operasi bersepadu di beberapa buah gerai di Batu Caves.

Penguat kuasa Imigresen memaklumkan ramai warga asing bekerja di kawasan itu tanpa pemilik yang sah.

Sekumpulan lelaki melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa ketika mereka cuba menahan peniaga warga asing tersebut.

Dalam kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud sebelum ini, memaklumkan pihaknya memandang serius kes itu.

Artikel Berkaitan:

Dzaimee menegaskan pihaknya tidak gentar dengan sebarang tindakan provokasi oleh pihak-pihak yang melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Beliau berkata, tindakan berundur yang diambil ketika kejadian itu adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen186/506 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta melakukan ugutan jenayah.