Malaysia kongsi isu pertahanan, keselamatan di peringkat antarabangsa

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menghadiri Munich Security Conference (MSC) 2020 yang berlangsung sejak dari 14 Februari lalu.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, sejak penganjuran lebih lima dekad yang lalu, MSC 2020 berkembang menjadi persidangan utama yang membahaskan dasar keselamatan antarabangsa.

Menurutnya, persidangan kali ini menyaksikan kehadiran lebih 500 delegasi peringkat tinggi dari seluruh dunia termasuk pemimpin negara, menteri Kabinet dan tokoh terkemuka dalam bidang keselamatan.

“Persidangan membincangkan pelbagai isu keselamatan dunia yang semakin membimbangkan termasuk kawalan senjata, cabaran mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Pasifik, dialog berhubung program peluru berpandu, multilateralisme dan peralihan kuasa besar.

“Kehadiran YB Menteri Pertahanan ke MSC 2020 adalah sebahagian daripada Perkongsian Berwibawa yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) di bawah inisiatif diplomasi pertahanan.

“Ia bagi menggalakkan hubungan pertahanan positif melalui platform dua hala dan pelbagai hala dalam menangani isu pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa yang dikongsi oleh Malaysia dan negara lain,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan semasa lawatan, Mohamad mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Jerman bagi berkongsi intipati KPP yang menggariskan strategi jangka panjang demi mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

Artikel Berkaitan: