Akta Hasutan adalah Akta zaman Kolonial British

Jimmy Puah
Jimmy Puah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penggunaan Akta Hasutan dalam perundangan negara dianggap sudah tidak sesuai serta bertentangan dengan agenda hak bersuara yang mahu diamalkan Kerajaan PH.

Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mengambil langkah terbaik dan sekiranya perlu memansuhkan sahaja akta yang disifatkan zalim dan sudah kuno itu.

Menurutnya, perundangan negara juga diyakini tidak akan terjejas memandangkan negara sudah mempunyai undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan berhubung dakwaan fitnah.

“Terdapat undang-undang sedia ada dibawah kanun keseksaan untuk dakwa sebarang kes jenayah fitnah.

“Akta hasutan adalah akta 1948 dari zaman kolonial British. Ia sudah tidak selari lagi dengan zaman ini kerana di bawah PH hak untuk bersuara seperti termaktub dalam perlembagaan perlu dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jimmy yang juga Exco Kerajaan Negeri turut berpendapat, sudah tiba masanya kerajaan membuat reformasi terhadap undang-undang negara yang boleh menghadkan kebebasan untuk bersuara.

“Perlu ada reformasi, undang-undang yang mencabar hak ini harus dimansuhkan seperti janji yang kita buat kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Pengerusi PKR negeri, Hassan Abdul Karim turut menzahirkan kekecewaan terhadap pemerintahan PH yang diakui tidak berpegang kepada janji telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, perasaan tidak berpuas hati itu adalah merujuk kepada manifesto PH yang telah berjanji akan menghapuskan Akta Hasutan.

"Saya menjadi seorang calon PH dan Pengerusi PKR negeri telah menjanjikan kepada pengundi di Pasir Gudang dan Johor bahawa jika kami menang pada PRU 14 Akta Hasutan yang zalim itu akan dihapuskan.

"Kini PH telah menang dan jadi kerajaan. Sebagai Ahli Parlimen saya sedih, kesal dan tidak puas hati kepada kerajaan yang saya dukung di Parlimen telah mungkir janji kepada rakyat,” katanya.