Polis panggil Lando Zawawi bantu siasatan video tular

Lando Zawawi (depan dari kanan) bersama Hasbullah dan Samreet Singh ketika ditemui sebelum ke IPD Kuantan pagi tadi.
Lando Zawawi (depan dari kanan) bersama Hasbullah dan Samreet Singh ketika ditemui sebelum ke IPD Kuantan pagi tadi.
A
A
A

KUANTAN - Polis memanggil Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan satu laporan polis berhubung video masalah jalan rosak yang tular di laman sosial sebelum ini.

Lando Zawawi tiba bersama peguamnya, Samreet Singh kira-kira jam 10 pagi di IPD Kuantan hari ini.

Turut dipanggil, rakannya, Hasbullah Mat Soom atau Tok Abu Santau.

Ketika ditemui sebelum itu, Lando berkata, beliau sendiri belum pasti tentang kes yang dihadapinya itu namun tiada masalah untuk bekerjasama bagi membantu siasatan polis.

Menurutnya, jika aduan polis yang dibuat pihak tertentu kerana videonya sebelum ini, baginya itu hanya saluran teguran kepada pihak berkaitan.

"Saya hanya bersuara bagi mewakili Ikatan Silaturahim Brotherhood, Brotherhood Kuantan dan lebih penting ia juga suara pembayar cukai yang terkesan dengan masalah jalan rosak.

"Saya banyak terima aduan dan bila kita turun ternyata aduan itu berasas dan ada jalan yang berlubang ini kami sendiri yang 'palang'," katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan itu bukan untuk menjadi hero sebaliknya demi keselamatan pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa yang sama ia satu teguran kepada pihak berkaitan supaya lebih bertanggungjawab dan efektif bertindak.

"Saya atau video yang ditularkan itu tidak mengancam sesiapa pun tetapi jalan yang rosak dan berlubang ini sebenarnya ancaman kepada keselamatan serta nyawa pengguna," katanya.

Menurutnya, tekanan pihaknya berhubung masalah jalan rosak sebelum ini ada yang diterima secara positif oleh agensi berkaitan namun ada juga yang hanya lihat dari sudut negatif.

"Pada saya, isu sebegini tidak perlu kepada laporan polis sebaliknya jawab dengan tindakan yang sepatutnya.

"Jika merasakan tindakan kami ini salah, bawa ke mahkamah supaya kita dapat lihat siapa betul siapa salah.

"Masalah jalan yang kami paparkan perkara betul dan ada buktinya," katanya.

Lando berkata, kes yang dihadapinya itu dianggap sebagai satu cabaran dalam perjuangannya selama ini.

"Ini bukan kali pertama saya dipanggil pihak polis. Sudah tujuh lapan kali dah dan pernah juga rasa pengalaman bermalam dalam lokap namun setakat ini semua kes itu tiada tindakan lanjut atau NFA.

"Bagi kes kali ini kita tengok macam mana yang penting saya beri kerjasama bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali mengesahkan bahawa aktivis itu dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung penularan satu video sebelum ini.

Menurutnya, Lando Zawawi dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan satu laporan polis yang diterima sebelum ini.

"Beliau disiasat di bawah sek 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.