SimplySiti bantu kanak-kanak pesakit jantung

SITI NURHALIZA
SITI NURHALIZA
A
A
A

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu situasi menggambarkan pengorbanan ibu bapa yang gigih mencari rezeki demi mengumpul dana merawat dan menjalani pembedahan jantung anak-anak mereka.

Prihatin keperitan menyelubungi keluarga berkenaan, produk kecantikan SimplySiti mengambil inisiatif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, Kempen SimplySiti Di Hati.

Menurut Presiden SimplySiti Sdn Bhd, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, sejak dilaksanakan sekitar tahun 2011, Kempen SimplySiti Di Hati berjaya mengumpul dana melebihi RM200,000 dan membiayai kos pembedahan 14 kanak-kanak pesakit jantung daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Bagi Kempen SimplySiti Di Hati 2019, kami berjaya mengumpul kutipan dana tertinggi sebanyak RM171,145 hasil sumbangan daripada masyarakat dan syarikat-syarikat konglomerat.

"Saya juga berpeluang turun padang dan melihat wajah mereka yang menyokong misi kempen. Situasi ini, secara tidak langsung menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat bermurah hati menghulurkan bantuan kepada insan memerlukan," katanya pada Majlis Makan Malam SimplySiti Di Hati 2019 Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SITI NURHALIZA (tiga dari kiri) dan Zuraida (kiri) bergambar bersama keluarga dan kanak-kanak pesakit jantung pada Majlis Makan Malam SimplySiti Di Hati 2019 Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza di Kuala Lumpur baru-baru ini.
SITI NURHALIZA (tiga dari kiri) dan Zuraida (kiri) bergambar bersama keluarga dan kanak-kanak pesakit jantung pada Majlis Makan Malam SimplySiti Di Hati 2019 Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau turut menyerahkan replika cek bernilai RM171,145 kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Raja Datin Seri Zuraida Raja Mansur untuk disalurkan kepada Tabung Yayasan IJN.

Sementara itu, dana yang berjaya dikumpul tersebut digunakan untuk membiayai kos pembedahan jantung lima kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun iaitu Siah Wan Ying, Nurul Syamimi Ahmad Paridon dan Auni Insyirah Muhammad Firdaus Hilmi. Pesakit lain ialah Auni Mardhiyah Ahmad Hanafi dan R Mugilan.

Artikel Berkaitan:

Dimaklumkan, kelima-lima kanak-kanak terbabit sudah selamat menjalani pembedahan dan dalam proses penyembuhan.