Lebih 24,000 hektar tanah TOL di Cameron Highlands

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri sentiasa membantu pekebun di Cameron Highlands dan bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya jika mematuhi peraturan ditetapkan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini 24,007.4 hektar tanah atau 3.2 peratus daripada keluasan Cameron Highlands diberikan kepada pekebun melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk diusahakan.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi perkhidmatan terbaik berhubung urusan tanah kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Perkara ini sentiasa berikan perhatian sewajarnya, kerana saya percaya ia berkaitan dengan kehidupan seharian masyarakat di dalam Parlimen Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan di Facebook rasminya hari ini bagi menjawab kenyataan calon PH PRK Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran yang mendakwa hanya Kerajaan Pusat berupaya mengatasi masalah dihadapi penduduk Cameron Highlands termasuk isu tanah pertanian.

Melalui kenyataan Manogaran itu, beliau menegaskan penting untuk pengundi di kawasan itu memilih calon yang benar-benar layak dan dapat bekerjasama dengan Kerajaan Pusat melalui PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Wan Rosdy berkata, Manogaran diminta untuk memahami perkara itu dengan jelas sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan tanah di negeri ini.

“Beliau kena tahu urusan tanah di bawah kuasa kerajaan negeri seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Berkaitan: